Ulu Kuang Dirt Bike beri platform tonjol bakat muda sukan motocross

Oleh Rosdalilah Zahari
CHEMOR – Ulu Kuang Dirt Bike (UKDB) buat julung kali mengaMotocross/rogram Fun Race Motocross/Endurance yang berlangsung di Litar Kampung Ulu Kuang, di sini, hari ini.
Pengerusi program, Amirrudin Abdul Rahim berkata ia diadakan bertujuan untuk mengetengahkan bakat generasi muda dalam bidang permotoran di samping mengelakkan mereka daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti lumba haram.
Menurutnya, walaupun julung kali diadakan, sambutan yang diterima daripada penduduk tempatan serta sekitar negeri Perak amat menggalakkan.

“Seramai 60 peserta berentap dalam lima kategori yang dipertandingkan pada hari ini. Rata-rata peserta terdiri daripada belia Kampung Ulu Kuang dan ada juga yang datang dari Kuala Kangsar, Batu Kurau, Simpang Pulai dan Gopeng.
“Selain itu, kami juga menerima peserta dari Kedah, Pulau Pinang dan Pahang,” katanya ketika ditemui Perak Kini.
Katanya, melalui sokongan serta kerjasama daripada golongan muda dan masyarakat setempat, kelab berkenaan dapat mewujudkan satu litar perlumbaan di kawasan kampung itu.
“Program ini adalah program masyarakat setempat membabitkan penduduk kampung ini. Mereka banyak memberi kerjasama secara langsung dan tidak langsung mahupun sama ada dari segi kewangan atau tenaga,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Amirrudin turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman yang turut menyumbang bagi memastikan program tersebut dapat direalisasikan.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu MX Cupcross open, MX CKD Open, MX Special, Endurance Cupcross + CKD Open dan Endurance Motocross Open.
Pemenang tempat pertama sehingga ketiga bagi kesemua kategori menerima wang tunai dan medal manakala hamper bagi pemenang saguhati.
Mazlan menyempurnakan acara penyampaian hadiah dan penutup program tersebut.
#PerakKini #UKDB #motocross #endurance #dirtbike #KampungUluKuang #Chemor
