‘Usha Usahawan’ inisiatif kerajaan negeri bantu usahawan mikro Perak
dav
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Kerajaan negeri akan memperkenalkan program Usha Usahawan bertujuan untuk membantu usahawan mikro khususnya untuk membina semula perniagaan mereka selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Salbiah Mohamed (gambar) berkata menyedari perkara itu kerajaan negeri mengambil inisiatif mewujudkan program tersebut yang dijangka akan dilancarkan pada tahun hadapan.
Menurutnya, program itu juga akan mengambil kira peruntukan melalui pembentangan bajet kerajaan negeri yang akan diadakan pada bulan ini.
Katanya, kebanyakan usahawan dilihat memerlukan modal awal bagi membangunkan semula perniagaan mereka dan kerajaan negeri bercadang untuk menyalurkan bantuan awal kepada mereka yang layak.
“Program ini dilaksanakan melalui pendekatan turun padang bersama beberapa agensi yang terlibat bagi melihat dan mengenal pasti masalah yang dihadapi usahawan.
“Selain itu, kita turut berbincang dengan beberapa pempengaruh TikTok dan You Tube untuk melihat potensi dan masalah yang dihadapi usahawan di negeri ini,” katanya.
Beliau ditemui media selepas melancarkan Tabung Sayang-Sayang Safura di Kedai Emas Safura di sini pada Ahad.
Hadir sama, pemilik Kedai Emas Safura Bibi Safura Ghulam Hyder.
Salbiah berkata usaha untuk membantu usahawan terjejas sudah dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini melalui Geran Usahawan Perak (GeRUP), dan ia mungkin akan diteruskan dengan beberapa penambahbaikan.
Dalam perkembangan lain, beliau memuji inisiatif Kedai Emas Safura yang melancarkan tabung amal untuk membantu golongan yang memerlukan.
“Penubuhan tabung ini adalah inisiatif baik bagi usahawan untuk menyumbang semula kepada masyarakat memerlukan.
“Melalui tabung ini ia secara tidak langsung mengajak orang ramai bersama-sama memberi infak ataupun menyumbang melalui pembelian di kedai tersebut.
“Saya kira perkara ini bagi usahawan yang sudah ada nama boleh mengambil pendekatan sama untuk menyumbang semula kepada masyarakat apabila sudah berjaya,” katanya.
#PerakKini #UshaUsahawan #bantu #peniaga #mikro #Perak