Isu kompaun RM250: Menyamakan Ipoh & Pyongyang sekadar pendapat peribadi – Datuk Bandar Ipoh

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Artikel yang disiarkan dalam sebuah portal baru-baru ini menyamakan tindakan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan ibu negara Korea Utara, Pyongyang berkaitan kompaun RM250 hanyalah sekadar pandangan peribadi kolumnis terbabit semata-mata.
Kolumnis terbabit melalui artikel tersebut turut mempersoalkan kompaun yang dikenakan ke atas premis yang gagal memasang Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan dilihat seolah-olah memutarbelit fakta daripada sumber berita arus perdana.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata setakat ini tidak ada masalah yang timbul antara peniaga dan MBI memandangkan artikel penulis berkenaan lebih kepada pendapat peribadi.
Sebaliknya, beliau berkata kebanyakan peniaga dilihat teruja untuk memasang Jalur Gemilang bagi membantu menceriakan suasana sekaligus menarik pelancong untuk datang ke bandar raya ini.
“Saya ingat itu (artikel) takda apa, saya rasa apa yang dibuat ini (kompaun) semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil langkah yang sama.
“Peniaga di Ipoh takda bising dan beri respon yang baik (memasang Jalur Gemilang), yang jadi ini (isu) bila orang luar (mempersoal), saya pun tidak faham kenapa dia nak marah.
“Saya pun terfikir kenapa orang luar pula yang nak memainkan isu ini, jadi itu hanya pendapat peribadi penulis,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Rumaizi tidak menolak kemungkinan jika terdapat agenda tersembunyi yang cuba memperlihatkan kelemahan MBI.
“Macam ada satu agenda lain, kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak kena terutama (artikel portal) itu orang luar bukan orang Ipoh.
“Saya tidak tahu apa agenda dia tetapi peniaga di Ipoh memang elok sahaja,” katanya yang memaklumkan setakat ini terdapat kira-kira 6,000 peniaga yang berada di sekitar Ipoh.
Sebelum ini media melaporkan, MBI akan mengenakan kompaun RM250 ke atas premis perniagaan yang tidak mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan Bulan Kemerdekaan ini.
Rumaizi turut menegaskan secara jelas dalam laporan tersebut dengan menyatakan bahawa tiada kompaun yang dikenakan dan premis berkenaan hanya diberi nasihat.
Jelasnya lagi, kompaun tersebut memang wujud di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) tertakluk di bawah Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan.
#PerakKini #MBI #JalurGemilang #Ipoh #Perak
