KELAB BAKTI GUNUNG KELEDANG SANTUNI 47 ANAK-ANAK YATIM DARUSSALAM

MERU – Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) menyantuni 47 anak -anak yatim Darussalam didalam persiapan menjelang hari raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Program tersebut diluncurkan oleh Presiden Kelab Bakti Gunung Keledang, Ismail Mohamed Yusuff bertempat di Mydin Mall Meru Raya pada Ahad.
Turut hadir bersama, Pengarah Bersekutu Takaful Ikhlas Wilayah Ipoh, Azhar Abdul Rahman serta pihak pengurusan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-Anak Yatim Darussalam Ipoh.
Ismail berkata, program KBGK bukan sekadar menyantuni, malah bertujuan memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim dan asnaf agar mereka turut merasai kemeriahan Ramadan dan membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
“Pada hari ini kita turut mendapat sumbangan daripada Takaful Ikhlas Ipoh sebanyak RM3000 yang disampaikan oleh pengarahnya sendiri selain daripada kutipan ahli-ahli kelab.
“Setiap anak-anak yatim Darulsalam akan menerima peruntukan sebanyak RM200 dan mereka bebas membeli-belah disini untuk memilih persiapan baju raya,” ujarnya.
Beliau turut menambah, program ini adalah untuk kali ke-50 sejak kelab ini bermula pada tahun 1977.
“Ini sudah kali ke-50 iaitu bersamaan kali ke-50 hari raya dan kali ke-50 puasa dan inilah tradisi KBGK menyumbang kepada pusat-pusat jagaan anak yatim yang kita pilih,” katanya kepada Perak Kini.







