Lebih 10,000 banjiri Dataran Bandaraya Ipoh, meriahkan Ambang Merdeka

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Lebih 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Bandaraya Ipoh seawal jam 6 petang bagi menyaksikan Sambutan Ambang Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak 2022, di sini malam tadi.
Pelbagai program menarik antaranya persembahan instrumental saksofon oleh Wan Andre, persembahan skesta ‘Jiwa Bangsa Malaysia’ oleh Warisan Noraza Negeri Perak, tarian Sewang Orang Asli Luheiw Renaweij dan deklamasi puisi oleh puisi.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, bersama isteri, Datin Seri Aezer Zubin serta barisan exco kerajaan negeri turut hadir untuk meraikannya bersama penduduk di negeri Perak.
Bermula jam 11 malam, program semakin meriah disusuli dengan ucapan yang disampaikan Saarani sebelum beliau menyerahkan Jalur Gemilang diserahkan kepada penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk dikibarkan.
Semasa menghampiri detik 12 malam, kiraan ‘countdown’ dilakukan sebelum diteruskan dengan laungan ‘Merdeka’ oleh sebelum lagu Negaraku dan Jalur Gemilang dinyanyikan beramai-ramai diikuti dengan pertunjukan bunga api.
Terdahulu Saarani dalam ucapannya mengajak rakyat untuk bersama-sama menghayati tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ serta mengambil semangat Keluarga Malaysia yang diaspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tema ini mengajak kita semua untuk memperteguhkan semangat solidariti dalam mengharungi cabaran-cabaran mendatang yang tentunya tidak mudah dan menuntut kita untuk memperteguhkan nilai-nilai perpaduan dan kebersamaan,” ujarnya.
#PerakKini #Merdeka #Ipoh #Perak
