Individu, kumpulan ceroboh MAPS boleh dikenakan tindakan – Saarani

oznorCO
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – “Kalau ada orang masuk tanpa kebenaran, tuan punya property (hartanah) itu boleh buat laporan polis dan polis akan membuat siasatan dan ambil tindakan,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berhubung tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pempengaruh (influencer) media sosial yang dipercayai menceroboh masuk ke dalam taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS), untuk merakam gambar dan kemudiannya memuat naik di media sosial.
Menurutnya, taman tema itu bukan lagi di bawah tanggungjawab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) tetapi kini ia adalah milik pemiutang.
“Jadi kalau isu keselamatan yang dibangkitkan maka dia (pemiutang) kena buat laporan polis sebab itu adalah harta persendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kilang Pemprosesan Mineral Secara Built To Suit and Lease oleh PKNPk dengan Usahasama Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd di Persiaran Perindustrian Kanthan 1, Kanthan, Chemor di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Eksekutif, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.
Sejak MAPS ditutup tiga tahun lalu, banyak hantaran di platform media sosial menunjukkan keadaan terkini taman tema tersebut kepada umum.
Bagaimanapun, individu atau kumpulan terbabit dipercayai menceroboh kawasan tersebut tanpa meminta izin dari pihak yang berkenaan.
#PerakKini #MAPS #ceroboh #influencer #RBZ
