JPJ keluar 14,514 notis, sita 500 motosikal sepanjang Advokasi dan Op Motosikal HRA 2023

IPOH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 14,514 notis pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) manakala 500 motosikal disita sepanjang Advokasi dan Op Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 yang berlangsung dari 18 hingga 25 April.

Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata sepanjang operasi itu sebanyak 51,039 motosikal diperiksa dan sitaan dilakukan di atas kesalahan antaranya tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain.

Menurutnya, pemeriksaan itu membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.

“Enam kesalahan utama yang dikesan membabitkan tiada lesen memandu sebanyak 4,583 notis, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).

“Menurut kajian, penggunaan topi keledar yang betul akan dapat mengurangkan kecederaan sebanyak 25 peratus kepada pengguna motosikal. Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau hadir pada Op Khas Motosikal bagi negeri Perak sempena Op Bersepadu HRA 2023, pada Rabu.

Lokman berkata, bagi Op Khas Motosikal negeri Perak dari 18 hingga 25 April, sebanyak 7,146 motosikal diperiksa dan daripada jumlah tersebut 1,313 motosikal telah diambil tindakan di bawah Akta 333.

#PerakKini #JPJ #Op #HariRaya2023 #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *