Lantikan politik dalam GLC perlu ikut merit: MB Perak

Foto: Stratcomm Perak

IPOH – Pelantikan orang politik bagi jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mempunyai kelayakan selain merit dan syarat-syarat tertentu, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (foto).

Beliau berkata pelantikan itu juga antara lain mesti terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan dan berdasarkan kepakaran, kemahiran serta pengalaman.

“Kita mahu pelantikan baharu yang dibuat oleh kerajaan negeri nanti mestilah berdasarkan kepakaran, kemahiran dan pengalaman dan bukannya gabungan politik semata-mata dan ini jelas.

“Di peringkat Persekutuan juga. Contohnya, kita ingin lantik dalam Lembaga Pengarah Lembaga Air Perak (LAP), maka dia perlu ada latar belakang kejuruteraan dan pada masa sama, dia adalah orang yang dilantik oleh parti politik dan bukannya orang politik semata-mata,“ katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak dekat sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dan Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Perak, Yusoff Razali.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Saarani memaklumkan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak hari ini memutuskan bahawa tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Ahli Majlis Perbandaran dan Ahli Majlis Daerah dilanjutkan sehingga 15 Feb ini.

“Proses pelantikan baharu bagi kesemua jawatan itu sedang dijalankan. Mesyuarat juga memutuskan pelantikan baharu bagi semua jawatan terbabit akan berkuat kuasa mulai 16 Feb,” katanya.

Terdahulu, Saarani berkata di bawah Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak itu, peruntukan disalurkan bagi menampung sara hidup dan pendidikan anak-anak berkenaan sehingga mereka mencapai usia 21 tahun.

“Kerajaan negeri menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib pelajar kita yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan kematian ibu bapa atau penjaga akibat COVID-19.

“Kita tidak mahu mereka ini keciciran dalam persekolahan dan kita gerakkan melalui kerjasama FELCRA, JAIPk dan Jabatan Pendidikan negeri mencari serta menyaring pelajar yang terkesan,“ katanya.

Jelasnya, FELCRA Berhad telah menyumbang sebanyak RM252,000 dalam bentuk pembayaran dividen keuntungan kepada para penjaga pada 2022 dan meningkat kepada RM432,000 tahun ini. – BERNAMA

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *