Tidak perlu ‘panic buying’, bekalan ayam, telur cukup sempena Tahun Baharu Cina

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – “Kerajaan negeri akan memastikan barangan keperluan sentiasa mencukupi dari semasa ke semasa.
“Oleh itu, jangan ‘panic buying’ (pembelian panik) kerana pihak kementerian, pemborong akan memastikan barangan tersebut sentiasa ada,” kata Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak, Woo Kah Leong.
Menurutnya, tinjauan yang dilakukan di beberapa pasar raya sekitar negeri Perak mendapati harga barangan keperluan termasuk barangan diwartakan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 masih cukup serta berada dalam keadaan terkawal.
Menyentuh berhubung isu bekalan ayam dan telur di Perak, beliau memaklumkan kerajaan akan memastikan harga ayam dan telur stabil seterusnya tidak membebankan pengguna.
Tambahnya, pada masa yang sama turut berusaha untuk memperkasakan industri penternakan ayam dan pengeluaran telur bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna dan pengusaha agar semua pihak tidak terbeban dengan kos sara hidup.
“Pemeriksaan dan pemantauan harga barangan keperluan, bekalan ayam dan telur ayam akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan segala dasar dan langkah yang dirancang oleh pihak kementerian berjaya menepati sasaran.
“Kita tidak akan bersikap sembunyi dan buat tidak tahu. Jika ada masalah bekalan (ayam, telur) kita akan selesaikan serta langkah proaktif akan diambil bagi memastikan bekalan sentiasa cukup untuk kegunaan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai mengadakan sesi lawatan pemantauan pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2023 di Pasar Raya Lotus Ipoh, pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman.
Dalam pada itu, Kah Leong berkata kerajaan sentiasa mengambil berat akan kos sara hidup rakyat.
“Keprihatinan itu terbukti melalui pelbagai langkah dalam mengawal harga barang dan kerajaan juga tidak berniat untuk mengambil pendekatan menekan para peniaga namun para peniaga disaran mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Katanya, setakat dua hari skim tersebut dilaksanakan, pemeriksaan yang dijalankan di beberapa pasar raya di sekitar negeri ini tiada sebarang tindakan diambil kerana masih mengikut harga yang ditetapkan.
Lapan jenis barangan yang diwartakan dalam pelaksanaan skim tersebut antaranya ikan bawal putih, udang putih, ubi kentang import (China), kobis import dan juga babi bermula dari 15 hingga 19 Januari ini.
#PerakKini #KPDN #SHMMP #Perak
