MBI tawar diskaun kompaun tempat letak kereta sehingga 70 peratus mulai 1 Mei

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan pengurangan kompaun sehingga 70 peratus kepada orang ramai untuk melunaskan tunggakan khusus kepada kompaun Tempat Letak Kereta selama sebulan bermula 1 hingga 31 Mei ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata penawaran kompaun itu dilaksanakan bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Bandaraya Ipoh yang ke-35.
Menurutnya, pengurangan kadar kompaun akan diberikan sebanyak 70 peratus kepada kepada wargakota yang membuat bayaran secara atas talian manakala 50 peratus untuk pembayaran di kaunter.
“Tempoh pembayaran pengurangan kadar kompaun ini akan dilaksanakan selama satu bulan bermula dari 1 hingga 31 Mei ini,” katanya sewaktu berucap pada Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April 2023 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Rumaizi berkata MBI dalam fasa pendigitalan sepenuhnya dari segi operasi dan pembayaran caj tempat letak kereta secara berperingkat menerusi aplikasi mobile PARK@PERAK bagi menuju Ipoh Bandar Raya Pintar menjelang 2030.
“Seiring dengan hasrat pelaksanaan pendigitalan sepenuhnya, MBI tidak lagi menjual kupon fizikal kepada ejen jualan kupon letak kereta berkuatkuasa 1 Jun tahun lalu.
“Bagaimanapun, kupon fizikal sedia ada masih boleh dijual kepada orang awam dan digunakan di MBI sehingga 31 Disember tahun ini.
“MBI juga menyediakan platform untuk pengambilan ejen digital bagi memberi kemudahan kepada orang awam dan sehingga kini terdapat beberapa ejen digital yang berdaftar. Namun begitu, Majlis masih meneruskan usaha untuk melantik ejen-ejen fizikal ke platform ejen digital,” katanya.
Justeru, beliau menggalakkan penduduk di bandar raya Ipoh untuk memuat turun aplikasi PARK@PERAK sebagai persediaan pendigitalan sepenuhnya caj pembayaran tempat letak kereta mulai 2024.
Sebarang pertanyaan atau kemusykilan, boleh hubungi Unit Letak Kereta di talian 05-2554377 / 87 / 88. PARK@PERAK juga boleh dimuat turun di Play Store, App Store dan Huawei Gallery.
#PerakKini #MBI #diskaun #kompaun #tempatletakkereta #RBZ
