TRONG - Sambutan Hari Malaysia di kawasan Trong melakar sejarah manis apabila pertandingan bot berhias yang dianjurkan untuk kali kelima mencatatkan penyertaan seramai 206 peserta telah menunjukkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu yang telah mencatat penyertaan sebanyak 130 peserta.

Dua kategori utama dipertandingkan iaitu kategori A (enjin 30 kuasa kuda ke atas dan sampan besar) manakala bagi kategori B (enjin 30 kuasa kuda ke bawah dan sampan kecil) serta terdapat acara lain yang turut di pertandingkan iaitu mewarna, pakaian beragam, memasak, gubahan serta cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal untuk rakyat kawasan Trong di dalam Parlimen Bukit Gantang.
Perasmian pertandingan bot berhias telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Syed Abu Hussin Hafis Syed Abdul Fasal bertempat di DSH Kelong Perairan Trong pada pagi Rabu.

Syed Hussin berkata, acara ini adalah satu-satunya seumpamanya di seluruh negara yang menggabungkan perarakan bendera Malaysia dan pertandingan bot berhias sempena Hari Malaysia.
"Tidak ada tempat lain buat begini di Malaysia, hanya di kawasan Trong sahaja ada acara sebegini yang disambut dengan meriah.
"Keunikan kali ini turut dizahirkan melalui penglibatan tujuh buah bot milik nelayan kaum Cina selain nelayan Melayu, menjadikan acara ini lambang perpaduan sebenar masyarakat pesisir laut," ujar beliau.

Beliau turut menambah, terdapat dua matlamat utama penganjuran ini diadakan iaitu bagi menghargai jasa nelayan pesisir pantai dan juga memacu ekonomi agro pelancongan Trong.
"Mereka ini yang sentiasa membanting tulang, mencari sumber protein untuk rakyat Malaysia tanpa mengira waktu atau cuaca serta kerap kali dilupakan dan sebab itu setiap tahun kita meraikan mereka dan memberikan hadiah yang lumayan.

"Matlamat kedua adalah Memacu Ekonomi Melalui Agro Pelancongan
Kawasan Trong yang kini mempunyai hampir 20 buah kelong berbanding hanya dua kelong pada dahulunya," katanya.
Pertumbuhan ini telah menarik pemancing dari serata negara, lalu menjana kesan ekonomi yang nyata antaranya penginapan homestay, restoran bertambah, jualan umpan dan bekalan memancing yang boleh mencecah ribuan ringgit selain hasil laut seperti ketam, kerang dan ikan.

Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang turut merancang untuk memperkenalkan jualan terapung tahun hadapan serta berusaha mendapatkan peruntukan bagi mewujudkan pusat pelancongan rasmi di kawasan ini dan tidak hanya bergantung kepada hasil laut semata-mata.
Pada sebelah petang, berlansung penyampaian hadiah pertandingan yang disampaikan sendiri oleh Dato' Syed Abu Hussin kepada setiap para pemenang.

Jumlah keseluruhan hadiah yang dipertandingkan untuk edisi ke-5 mencecah RM57,000.
Untuk kategori 'A' johan bagi tempat pertama akan membawa pulang wang tunai bernilai RM5000 manakala juara bagi kategori 'B' johan bagi tempat pertama membawa pulang wang tunai sebanyak RM3000.
Turut dinanti-nantikan adalah penyampaian hadiah utama bagi acara cabutan bertuah iaitu sebuah motosikal yang dikhususkan untuk rakyat kawasan Parlimen Bukit Gantang.
Selain itu, penyampaian hadiah turut disampaikan kepada johan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pakaian beragam, gubahan, memasak, serta diikuti 'Kenduri Sekampung' yang turut menyatukan penduduk pelbagai peringkat umur.
Peningkatan penyertaan dari tahun ke tahun bermula daripada siri pertama sehingga kini membuktikan sambutan rakyat sangat luar biasa dan tradisi ini akan dikekalkan serta diperkasakan pada masa hadapan.

