Penganjur tampil mohon maaf salah guna istilah ‘Pesta Songkran’, tukar nama kepada ‘Pesta Air’

Pengarah Urusan Sahom Valley Resort, Shariff Ali Jabbad Ali.
Oleh Rosdalilah Zahari
KAMPAR – Sahom Valley Resort tampil membuat permohonan maaf di atas kekhilafan menggunakan istilah ‘Pesta Songkran’ sehingga menggores perasaan sesetengah pihak khususnya masyarakat Siam.
Pengarah Urusannya, Shariff Ali Jabad Ali berkata pihaknya juga sama sekali tidak berniat untuk menyentuh sensitiviti kaum dan agama yang ada di negara ini.
Menurutnya, sejak hebahan program itu mula dimuat naik di Facebook serta platform media sosial, mereka menerima kecaman dan teguran daripada netizen termasuk masyarakat di kampung tersebut.
“Ramai yang mempersoalkan kenapa kami gunakan istilah Pesta Songkran sedangkan ia berasal dari negara jiran. Kita ambil maklum dengan pandangan tersebut.
“Jadi kami menukar nama program kepada Pesta Air. Acara dan pengisian itu masih akan berjalan dan sama seperti yang dirancang,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di Sahom Valley Resort, Kampung Sahom di sini pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Shariff Ali turut menjelaskan bahawa mereka tidak berniat untuk meniru Pesta Songkran.
“Ingin saya jelaskan sekali lagi bahawa cadangan kami bukan hendak ikut sama seperti Pesta Songkran, itu merupakan kesilapan kami sendiri, tiada niat tiru seperti acara keagamaan atau adat resam mereka.
“Tujuan program itu dianjurkan untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat serta menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.
“Pesta Air ini adalah penganjuran kali kedua selepas diadakan pada Mei lalu,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat yang berminat boleh datang ke Pesta Air tersebut pada 26 dan 27 Ogos ini
Semalam media melaporkan, Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Mohd Sofian Rejab bertemu penganjur yang mengakui kekhilafan dalam menggunakan istilah perayaan tersebut.
Beliau berkata penganjur turut menjelaskan bahawa pesta air tersebut bukan seperti yang dilihat dalam Perayaan Songkran masyarakat Siam tetapi hanya aktiviti air untuk pengunjung.
Terdahulu, isu ini menjadi tular dan panas di platform media sosial selepas didakwa menyentuh sensitiviti kaum di negara ini.
#PerakKini #PestaAir #penganjur #mohonmaaf #RBZ
