Penganjur terkhilaf guna istilah ‘Pesta Songkran’, tarik balik hebahan

Oleh Rosdalilah Zahari
KAMPAR – Penganjur ‘Pesta Songkran’ di Sahom mengakui kekhilafan kerana menggunakan istilah perayaan tersebut sepertimana yang tular di media sosial semalam.
Yang Dipertua (YDP) Pas Kampar, Mohd Sofian Rejab berkata susulan isu tular itu, beliau bersama beberapa pemimpin Pas Kampar mengadakan kunjung hormat ke Sahom Valley Resort bagi mendengar penjelasan dan mendapatkan maklum balas daripada pihak penganjur berkaitan perkara tersebut.
Menurutnya, penganjur menjelaskan bahawa pesta air tersebut bukan seperti yang dilihat dalam Perayaan Songkran masyarakat Siam tetapi hanya aktiviti air untuk pengunjung.
“Kehadiran kami disambut baik oleh pihak pengurusan Sahom Valley Resort. Dalam pertemuan yang berlangsung selama dua jam tersebut, kami menerangkan mengenai fatwa dan hukum Pesta Songkran kepada pihak pengurusan.
“Di samping itu, kami turut melontarkan keluhan dan bantahan masyarakat setempat terhadap penganjuran program tersebut.
“Pihak penganjur mengakui kesilapan kerana menggunakan istilah ‘Pesta Songkran’ dalam hebahan dan promosi pesta air yang sensitif dan mengelirukan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Mohd Sofian berkata pihak penganjur akan menarik balik hebahan tersebut dan akan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa terdekat.
“Pas Kampar ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyuarakan bantahan terhadap isu ini,” katanya.
#PerakKini #Pas #Kampar #PestaSongkran #penganjur #tarikbalik #hebahan #RBZ
