Perak negeri pertama terima pengiktirafan Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memilih Kafe Shake and Bake di Ipoh, Perak sebagai negeri pertama untuk menerima pengiktirafan Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia (Cafe Uniti).

Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata, Cafe Uniti adalah antara usaha KPN bagi meraikan pengusaha-pengusaha restoran, kafe, kedai makan dan gerai yang turut bersatu hati dalam mendukung aspirasi perpaduan dengan membudayakan amalan ‘mencungkil persamaan dan tidak menggali perbezaan.’

Menurutnya, usaha ini akan diperluaskan di Sabah dan Sarawak di samping mempromosikan usaha-usaha yang mendukung aspirasi pengukuhan ikatan kekeluargaan Keluarga Malaysia sekaligus membina lebih banyak tapak integrasi perpaduan.

“Makanan itu sendiri boleh menjadi satu ikatan perpaduan dan boleh menjadi menjadi tapak integrasi pelbagai kaum.

“Justeru, kita akan mengadakan kempen untuk rakyat Malaysia yang mempunyai cadangan jika terdapat mana-mana kafe, kopitiam, kedai makan yang ada kepelbagaian tanpa mengira bangsa dan agama untuk diiktiraf sebagai Cafe Uniti.

“Penilaian akan dibuat oleh kementerian. Jika kementerian yang bagi (pemilihan kafe) macam syok sendiri. Jadi, kita pilih apa yang masyarakat tempatan mahukan,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Cafe Uniti Keluarga Malaysia sempena Program Jelajah Perpaduan Keluarga Malaysia di sini, pada Jumaat.

Beliau turut meletakkan plak khas Cafe Uniti di Kafe Shake and Bake sebagai simbolik sokongan dan penghargaan dalam menggalakkan perpaduan dalam kepelbagaian.
Hadir sama, Pengurus Kafe Shake and Bake, Branden Soh dan Ketua Biro Perhubungan Etnik dan Hal Ehwal Agama MCA, Cally Ting.

Dalam perkembangan sama, Halimah berkata KPN akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandangkan restoran, kafe, gerai dan kedai makan memerlukan lesen atau permit daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk beroperasi.

Tambahnya, KPKT adalah kementerian yang bertanggungjawab terhadap PBT, jadi kerjasama terbabit adalah bagi memudahkan KPN untuk memastikan peniaga-peniaga berkenaan mempunyai lesen atau permit perniagaan masing-masing.
Sehubungan itu, pihaknya dan KPKT akan memulakan program terbabit di seluruh negara dalam masa terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *