ILIT bantah perancangan karnival Deepavali

Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Persatuan Peniaga-Peniaga Little India Ipoh, Perak (ILIT) membantah perancangan penganjuran Karnival Deepavali pada tahun ini kerana dibimbangi risiko penularan Covid-19 akan berlaku dan akan mewujudkan kluster baharu di kawasan berkenaan.
Wakil persatuan terbabit, S Sandhya Sharma berkata, surat permohonan pembatalan program karnival Deepavali 2021 yang bertarikh 4 Oktober lalu telah dihantar dan diterima Pejabat Datuk Bandar Ipoh serta Pejabat Setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada 5 Oktober.
Menurutnya, pihaknya membuat keputusan itu dengan mengambil kira keadaan pandemik Covid-19 yang masih menular dan ILIT berpendapat adalah tidak munasabah karnival terbabit diadakan pada tahun ini.
“Kita membantah sekeras-kerasnya terhadap sebarang perancangan untuk mengadakan karnival tahun ini. Tambahan, masih ramai dalam kalangan orang awam yang belum lengkap dua dos vaksin.
“Jadi, kita bimbang jika keadaan tidak dibendung dan dikawal ada kemungkinan kluster Little India wujud,” ujarnya.
Dia berkata demikian pada sidang media khas yang diadakan di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi ILIT, B Kalyani dan Ahli Jawatankuasa ILIT, Gurmeet Kaur.
Sehubungan itu, mereka merayu kepada pihak berkenaan untuk memberi pertimbangan supaya tidak mengizinkan pemasangan kanopi serta pentas di kawasan Little India demi keselamatan dan kepentingan orang awam.
Sementara itu, jurucakap Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ketika dihubungi berkata pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan berhubung karnival berkenaan.
“Setakat ini, MBI belum memberi sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan kita perlu mendengar daripada kedua-dua pihak. Kita jangka, keputusan itu akan dibuat pada minggu hadapan,” jelasnya.
