Pertimbang akan mengkaji penggajian pekerja asing bagi sektor lain jika ada keperluan – Sivakumar

Oleh Rosdalilah Zahari

BATU GAJAH – Kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengkaji jika terdapat keperluan untuk menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing bagi sektor dan sub sektor kritikal yang lain selepas tiga bulan program Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dilaksanakan.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata setakat ini hanya lima sektor dan sub sektor kritikal yang terlibat iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (melibatkan restoran sahaja).

“Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Dalam Negeri telah pun membuat keputusan untuk membawa masuk pekerja asing bagi lima sektor kritikal.

“Buat masa ini hanya lima sektor kritikal yang betul- betul memerlukan tenaga kerja dan mereka perlukan dengan jumlah yang banyak. Jadi, keputusannya adalah untuk membantu lima sektor ini dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2023 Kementerian Sumber Manusia di Pusat Konvensyen Pusing di sini, malam tadi.

Katanya, pihaknya akan melihat terlebih dahulu sama ada perkara itu boleh diselesaikan dalam tempoh tiga bulan selepas pelaksanaannya sebelum mempertimbangkan untuk memasukkan sektor dan sub sektor kritikal lain jika ada keperluan.

“Kita memberi masa lebih kurang tiga bulan untuk cuba menyelesaikan masalah ini untuk lima sektor kritikal. Selepas itu kalau ada keperluan kita akan pertimbangkan,” jelasnya.

Sebelum ini, Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Januari lepas bersetuju mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing, selain melaksanakan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.

#PerakKini #KementerianSumberManusia #KementerianDalamNegeri #pekerjaasing

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *