PUO jalin kolaborasi strategik bersama 18 agensi, industri, tingkat kualiti pendidikan TVET

Agensi, industri yang menandatangani Sijil Kolaborasi Strategik di Dewan Jubli Perak, PUO pada Khamis. - Foto PUO

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH-Politeknik Ungku Omar (PUO) menjalin kerjasama dengan 18 agensi dan industri menerusi Sijil Kolaborasi Strategik yang ditandatangani pada Khamis.

Pengarah PUO, Dr Shamsuri Abdullah berkata kerjasama ini membabitkan industri dari sektor perkilangan, perniagaan dan perkhidmatan serta kerajaan dalam usaha menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Menurutnya, kerjasama tersebut meliputi aspek penyediaan tempat untuk latihan industri pelajar dan sangkutan industri untuk pensyarah; perkongsian kepakaran industri sebagai pensyarah pelawat, sumbangan peralatan serta geran penyelidikan.

“Kerjasama strategik dengan rakan-rakan industri dilihat sebagai penyumbang penting kepada keberkesanan serta kemajuan institusi TVET manakala industri adalah enjin penggerak utama kepada pembangunan ekonomi negara.

“Jawatankuasa Penasihat Industri adalah platform kolaborasi terbaik bagi PUO dan industri untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing bagi tujuan penambahbaikan

sistem pengajaran dan pembelajaran dalam menghasilkan graduan berkualiti yang memenuhi keperluan industri dan guna tenaga negara.

“Kepentingan hubungan kolaborasi strategik rakan industri dengan PUO berjaya meningkatkan kualiti pendidikan TVET memacu Malaysia menjadi negara maju menjelang tahun-tahun yang akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Media, Penyampaian Watikan Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri dan Menandatangani Kolaborasi Strategik di Dewan Jubli Perak, PUO di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat Industri Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Tan Sri Sufri Mohd Zin dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik PUO, Dr Mohd Nor Azam Mohd Dali.

PUO menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Pengamal Media di Perak pada Majlis Apresiasi Media, Penyampaian Watikan Pelantikan Jawatankuasa Penasihat Industri dan Menandatangani Kolaborasi Strategikdi Dewan Jubli Perak, PUO di sini, pada Khamis.

Agensi dan industri yang terbabit adalah YC Lee Architect, CSME Consortium, GB Kuari Sdn Bhd, Kelab Kesenian Kompang dan Gamelan, Sigtech Engineering Sdn Bhd, TM Technology Services Sdn Bhd, Revenue Discovery Sdn Bhd.

Turut serta dalam kolaborasi itu adalah Powerit Solution Sdn Bhd, Favotech System Sdn Bhd, Kolej Vokasional Seri Manjung, Ingeniouscity Solution, Hartalega Sdn Bhd, Daikin Malaysia Sales & Service Sdn Bhd, Eduspace Enterprise, Hovid Bhd, Kamaya Electric (M) Sdn Bhd dan Weldmart.

Majlis menandatangani tersebut disaksikan Ketua Pusat Korporat, Hubungan Industri dan Kebolehpasaran (CISEC) PUO, Dr Aishah Sheikh Abu Bakar.

Pada majlis tersebut sebanyak 21 agensi media di Perak turut diberi sijil penghargaan termasuk Perak Kini sebagai tanda terima kasih PUO kepada pengamal media.

#PerakKini #PUO #TVET #agensi #industri #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *