RM15 juta diperuntukan ganti laptop guru MRSM

Asyraf Wajdi berswafoto bersama kakitangan Bahagian Teknologi Maklumat Mara. - Foto Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Oleh Rosdalilah Zahari

PERUNTUKAN RM15 juta diluluskan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi menukar laptop lama guru-guru Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat setelah mendengar aduan daripada guru-guru MRSM yang masih bergantung kepada laptop lama.

Menurutnya, setakat ini beliau telah melawat sembilan MRSM selepas dilantik sebagai Pengerusi Mara dan ramai guru-guru yang ditemui mengadu bahawa laptop yang digunakan majoritinya sudah berusia hampir 10 tahun.

“Setakat sembilan MRSM yang saya lawati sejak empat minggu saya dilantik Pengerusi Mara, ramai guru-guru yang saya temui mengadu kerana terpaksa bergantung kepada laptop lama yang rata-rata hampir 10 tahun usianya.

“Terngiang-ngiang lagi seorang guru Sains memberitahu yang dia masih menggunakan ‘table-top’ yang amat ‘slow’ dan bukannya laptop.

“Alhamdulillah, Majlis Mara telah luluskan RM15 juta untuk proses penukaran laptop-laptop lama guru-guru dan kakitangan MRSM secara berperingkat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Beliau berkata Bahagian Teknologi Maklumat Mara juga akan memberi taklimat berhubung proses penukaran laptop lama dalam masa terdekat serta memberi jaminan pihaknya tidak akan berkompromi dengan segala prosedur operasi standard, tata kelola dan tata cara perolehan termasuk aspek ketelusan dalam penukaran laptop baharu ini.

#PerakKini #MRSM #laptop #baharu #guru #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *