IPOH, PERAK — Cahya Suria Services Sdn Bhd dan Suzhou EnnoTHING Technology Co., Ltd. hari ini memeterai kerjasama strategik menerusi NexQuantum 1 Sdn Bhd bagi memacu pembangunan NexQuantum AI Digital Park, sebuah platform infrastruktur digital masa hadapan di Perak yang direka untuk menyokong aspirasi digital negeri, mempercepat transformasi digital Malaysia serta secara berperingkat berperanan dalam ekonomi digital ASEAN dan Greater Asian Region.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Majlis Strategic Partnership Ceremony NexQuantum AI Digital Park di Ipoh yang menghimpunkan keupayaan pembangunan tempatan Malaysia dan pendedahan teknologi antarabangsa bagi mewujudkan ekosistem digital bernilai tinggi yang memberi tumpuan kepada infrastruktur sedia AI, perkhidmatan awan, operasi pintar, kelestarian, pembangunan bakat dan kesalinghubungan digital serantau.
Inisiatif itu turut dilihat mampu meletakkan Perak sebagai laluan digital baharu yang berupaya menyokong pertumbuhan ekonomi digital di Malaysia, ASEAN dan rantau Greater Asia.
Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Amat Mulia Raja Iskandar Dzurkarnain ibni Almarhum Sultan Idris A’fifullah Shah, Raja Di-Hilir Perak Darul Ridzuan serta Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad bersama wakil ekosistem pembangunan negeri, rakan teknologi antarabangsa, pemimpin industri, pelabur, perunding dan pihak berkepentingan tempatan.
Di bawah pelan induk pembangunan, NexQuantum AI Digital Park dirancang sebagai platform infrastruktur digital jangka panjang yang merangkumi lapan fasiliti pusat data dicadangkan dengan NQ1 bakal menjadi pembangunan perintis pertama.
NQ1 dicadangkan sebagai pusat data Tier III berkapasiti 32MW yang lengkap dengan teknologi penyejukan cecair dan bersedia sepenuhnya untuk aplikasi kecerdasan buatan (AI), membabitkan anggaran pelaburan RM1 bilion di Perak.
Projek itu dijangka menyokong permintaan digital generasi baharu termasuk pengkomputeran AI, pengkomputeran berprestasi tinggi, infrastruktur data selamat, perkhidmatan awan, keselamatan siber dan aplikasi digital perusahaan.
Kerjasama strategik menerusi NexQuantum 1 Sdn Bhd menggabungkan kekuatan pembangunan tempatan Cahya Suria Services Sdn Bhd bersama keupayaan teknologi antarabangsa Suzhou EnnoTHING Technology Co., Ltd.
Cahya Suria Services menyumbang dari segi pelaksanaan pembangunan tempatan, penyelarasan pihak berkepentingan, pembangunan projek dan kefahaman terhadap landskap operasi Malaysia.
Suzhou EnnoTHING pula membawa pendedahan teknologi berkaitan ekosistem Foxconn Ennoconn merangkumi kepakaran dalam pembuatan pintar, teknologi internet industri, infrastruktur AI, automasi, pengkomputeran awan dan edge computing, pemantauan pintar serta sistem industri digital.
Kedua-dua pihak menyasarkan NexQuantum AI Digital Park bukan sekadar pembangunan hartanah, sebaliknya sebuah platform digital yang mampu menyokong keperluan masa hadapan AI, teknologi awan dan industri digital di Perak, Malaysia serta rantau ASEAN dan Greater Asia.

Kerjasama strategik itu juga selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan negeri lebih progresif, kompetitif, inklusif dan mampan menerusi pelaburan berkualiti, infrastruktur masa hadapan, pembangunan bakat, inovasi dan peluang ekonomi lebih luas kepada rakyat.
NexQuantum AI Digital Park dijangka menyumbang kepada pembangunan infrastruktur digital dan kesiapsiagaan AI, penglibatan vendor dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) tempatan, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, kerjasama bersama universiti dan institusi TVET, pelaburan berteraskan teknologi mampan serta pengukuhan kedudukan Perak sebagai hab ekonomi digital yang diyakini.
Wakil Cahya Suria Services Sdn Bhd dan NexQuantum 1 Sdn Bhd, Ong Teng Boon berkata, NexQuantum AI Digital Park tidak hanya dirancang sebagai pembangunan tempatan atau projek pusat data tunggal, sebaliknya sebuah platform infrastruktur digital kelahiran Perak yang berhubung dengan Malaysia dan disasarkan untuk memenuhi keperluan ekonomi digital Greater Asia.
Menurut beliau, kerjasama strategik menerusi NexQuantum 1 Sdn Bhd menghimpunkan keupayaan pelaksanaan tempatan dan pendedahan teknologi antarabangsa bagi membina asas kukuh untuk projek yang mampan, bersedia AI dan sejajar transformasi ekonomi jangka panjang Perak.

“Kami menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030 melalui usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi, menggalakkan penyertaan vendor tempatan, menyokong pembangunan bakat dan membantu membentuk Perak yang lebih progresif, kompetitif dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Wakil Suzhou EnnoTHING Technology Co., Ltd., Liu Huoping berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen jangka panjang dalam membangunkan platform infrastruktur digital berasaskan teknologi di Perak.
Beliau berkata, pihaknya melihat nilai besar dalam gabungan kekuatan pembangunan tempatan dan keupayaan teknologi antarabangsa bagi menyokong generasi baharu infrastruktur AI.
Menurut beliau, NQ1 sebagai pusat data Tier III berkapasiti 32MW yang lengkap dengan teknologi penyejukan cecair akan menjadi langkah penting pertama dalam merealisasikan visi lebih besar NexQuantum AI Digital Park.
“Kami percaya ia mampu menjadi platform penting untuk pengkomputeran maju, perkhidmatan awan dan permintaan digital serantau pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut berkata kerjasama itu diharap bukan sahaja membawa pendedahan teknologi dan pengalaman sistem, malah kesalinghubungan ekosistem yang dapat mengukuhkan kedudukan Perak dalam ekonomi digital serantau.
Ketua pasukan Foxconn Ennoconn, Aven Lou berkata, NexQuantum AI Digital Park mempunyai potensi untuk berkembang sebagai platform infrastruktur digital pintar, mampan, bersedia AI dan relevan di peringkat serantau.
Katanya, dengan perancangan jangka panjang dan sokongan ekosistem yang tepat, projek itu mampu menjadi jambatan penting antara aspirasi tempatan dan peluang teknologi antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Urusan PKNPk dan ekosistem pembangunan negeri, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, Perak mengalu-alukan pelabur yang serius dan bertanggungjawab yang bukan sahaja membawa modal, malah teknologi, kepakaran, pembangunan ekosistem dan komitmen jangka panjang.
Beliau berkata, pihaknya akan terus menyediakan fasilitasi dan penyelarasan dalam rangka kerja sewajarnya bagi membantu kemajuan NexQuantum AI Digital Park.
Pembangunan NexQuantum AI Digital Park akan diteruskan tertakluk kepada keperluan perancangan, teknikal, utiliti dan peraturan berkaitan.
Pihak terlibat menegaskan projek itu akan dilaksanakan secara tersusun dan bertanggungjawab dengan mengambil kira aspek kelestarian, pelaksanaan teratur, penyelarasan pihak berkepentingan dan keyakinan awam jangka panjang.
Visi pembangunan projek itu turut berpandukan falsafah bahawa pembangunan teknologi perlu bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti demi memastikan Perak kekal sebagai negeri yang dinamik dari sudut ekonomi dan berkualiti untuk didiami selaras aspirasi Perak Sejahtera 2030.