RM82.5 juta untuk projek tebatan banjir, naik taraf infrastruktur Teluk Intan

TELUK INTAN – Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM82.5 juta untuk projek pembangunan dan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur di sekitar Teluk Intan, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk projek tebatan banjir di pesisir Sungai Perak sepanjang enam kilometer yang akan dilaksanakan tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

“Saya jangka selepas projek tebatan banjir ini siap, masalah banjir kilat di kawasan ini dapat diatasi sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Besar Teluk Intan di Teluk Intan hari ini.

Bagi kerja-kerja menaik taraf pula, katanya sejumlah RM600,000 diperuntukkan bagi menaik taraf Medan Selera Glutton Square di Jalan Ah Cheong, antaranya membaik pulih bumbung serta menyediakan parkir khas untuk orang kurang upaya (OKU).

Nga berkata ia juga melibatkan proses naik taraf kemudahan pusat penjaja di Jalan Maharani seperti membina lantai baharu serta pemasangan pelindung haba, manakala RM800,000 lagi bagi kerja menaik taraf Pasar Besar Teluk Intan seperti kerja-kerja pendawaian elektrik serta pemasangan papan tanda digital. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *