Tular video isu Tanah Rizab Melayu: Saya memaafkan pihak yang cerca dan maki hamun – Saarani

Saarani.

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaafkan pihak yang mencerca dan memaki hamun beliau berhubung video kenyataannya berkaitan Tanah Rizab Melayu (TRM) yang diedit serta tular di platform media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, mungkin rakyat tidak tahu cerita sebenar dan beliau mendoakan pihak yang mengedit video tersebut semoga diberi hidayah oleh ALLAH SWT untuk selalu dijernihkan hati melakukan kebaikan.

“Sejak kebelakangan ini, beberapa video kenyataan saya mengenai isu tanah rizab Melayu telah diedit dan disebarkan di platform media sosial.

“Video yang diedit sekerat-sekerat menyebabkan klip-klip berkenaan tidak mencerminkan maksud asal kenyataan saya berhubung isu berkenaan,

sebaliknya ia disunting dan dimanipulasi sehingga menimbulkan kekeliruan dan kebencian.

“Tidak cukup dengan itu, ada pemimpin parti politik yang menggunakan video yang diedit itu untuk melemparkan kecaman dan maki hamun.

“Saya harap kepada pihak yang berkenaan supaya bermuhasabah, cermat dan berhati-hati memainkan isu yang boleh mengundang kekeliruan dan kebencian.

“Jadi, saya maafkan semua yang mencerca dan memaki hamun kerana saya mahu bersangka baik mereka tidak tahu cerita sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Saarani berkata, usaha untuk menambah jumlah TRM di Perak terus dipertingkatkan sehinggakan jumlahnya merekodkan peningkatan saban tahun.

“Sehingga tahun 2022, sejumlah 953,075 hektar TRM yang telah diwartakan di Perak.

“Jumlah ini dijangka meningkat kerana ketika ini Pejabat Tanah dan Galian Perak sedang mewartakan sejumlah 996.04 hektar lagi kawasan TRM yang akan diberikan hak milik kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

“Pada masa sama, saya telah arahkan PTG supaya jika terdapat keluasan tanah tertentu yang dibatalkan status rizab Melayu oleh kerana pembangunan, ia mesti diganti dengan nilai setimpal atau keluasan yang sama atau lebih.

“Pemansuhan tanah rizab Melayu pula tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Sebaliknya, ia dilakukan untuk tujuan pembangunan kemudahan awam seperti pembinaan hospital, sekolah dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa amat konsisten dalam perkara berkaitan TRM ini.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa klip video sewaktu sidang media Saarani pada 12 April lalu berhubung TRM yang didakwa diedit oleh pihak tidak bertanggungjawab.

#PerakKini #TanahRizabMelayu #videoedit #tular #MBPerak #RBZ

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *