IPOH — Satu program bantuan prihatin sempena sambutan Hari Malaysia telah diadakan hari ini, menyantuni seramai 100 orang warga emas, terutamanya dari kawasan Kinta Heights dan Buntong.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat, M.Kula Segaran bertempat di Little India pada pagi Khamis yang turut diiringi Pengerusi Ipoh City Watch, Dr. Richard Ng.

Program yang dianjurkan oleh Ipoh City Watch dengan kerjasama Lions Club of Perak Silver State serta Pejabat Parlimen Ipoh Barat menyasarkan sebanyak 100 pek makanan untuk diagihkan serta sumbangan komputer riba kepada yang layak.
Pengerusi Ipoh City Watch berkata, selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban sara hidup warga emas yang kebanyakannya daripada golongan B40, program ini juga bertujuan menanam semangat patriotisme dan rasa syukur kepada negara.

“Kita hendak ingatkan kepada semua warga Malaysia betapa syukurnya kita kepada negara atas apa yang kita nikmati selama ini dan berharap mereka akan bawa mesej ini pulang dan tunjuk semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sekurang-kurangnya setahun sekali,”katanya.
Beliau menambah program sebegini telah menjadi kelaziman pihak penganjur, bukan sekadar pemberian bantuan, malah setiap sambutan membawa mesej yang mendalam.

“Ini bukan kali pertama kami buat, selepas ini akan ada sambutan Deepavali, Krismas, Tahun Baru Cina, Hari Raya dan setiap kali ada mesej di sebaliknya.
"Apabila Tahun Baru Cina, kita bagi buah limau mandarin dan kongsikan budaya mereka; Deepavali pun begitu, kita satukan tiga kaum utama, malah warga Orang Asli turut hadir menerima bantuan. Di Malaysia ini, kita semua sama, bukan hanya berbilang bangsa tetapi satu keluarga,” ujarnya.

Isu tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa turut dibangkitkan dan beliau menyambut baik cadangan akta di Parlimen yang bakal mewajibkan anak-anak menyara ibu bapa warga emas, memandangkan semakin ramai golongan muda melupakan jasa orang tua mereka.
“Ramai anak muda kini lupa jasa ibu bapa dan sedikit bantuan makanan ini sekurang-kurangnya meringankan beban harian mereka,”tambahnya lagi.

Program ini bukan sekadar meringankan beban kos sara hidup, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan nasional serta mengingatkan generasi muda agar tidak melupakan tanggungjawab terhadap golongan yang telah membesarkan mereka.