Pemuda Dari Ipoh akan beraksi di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024

Debut Twin Boss V2 di Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32

 

Pada Art Of Speed 2024, motosikal RXZ Twin Boss V2 yg dibina oleh FNG Works menjadi tumpuan utama apabila merangkul Anugerah Pilihan Juri dan Pilihan Awam dalam acara Art of Speed Invitational Bike Build Off.

 

Sebagai juara keseluruhan, motosikal binaan khas ini akan dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32 pada tahun 2024 di Jepun, bersama kenderaan kustom terbaik dari seluruh dunia.

 

FNG Works merupakan perusahaan milik Mohamad Irwann Bin Mohd Azlan, 33 tahun. Lebih mesra dikenali sebagai Cheng, beliau adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari UiTM.

 

Antara inspirasi binaan beliau adalah motosikal yang direka oleh Khalid “The Rusty Factory”, Omar Jumiran, Padin Musa, Hills Angels, Azizan Rahim, dan Acid Welding. Manakala pembina antarabangsa, Cheng mengagumi karya Maxwell Hazan, Allen Millyard, Ed Roth, Arlen Ness, dan Sure Shot.

 

Kisah Twin Boss V2 bermula pada Art Of Speed 2017 dengan debut RXZ Twin Boss yang asal.

 

Dalam reka bentuk V1, Twin Boss juga dikuasakan oleh dua enjin Yamaha RXZ 135cc tetapi dikonfigurasikan dengan satu enjin di hadapan yang lain dan disambungkan pada “crank” melalui pemacu rantai. Twin Boss asal telah disiapkan dalam gaya ‘Digger’ dan menjadi hadiah cabutan bertuah pada AOS 2017.

 

Untuk Art Of Speed Malaysia 2024 yang ke-13, Cheng mengambil pendekatan baharu dan lebih maju untuk RXZ Twin Boss V2, kali ini menggabungkan sepenuhnya dua enjin Yamaha RXZ 135cc menjadi enjin dua silinder tunggal.

 

Cheng menjelaskan, “Saya ingin mencipta motosikal yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Sesetengah orang mungkin mengkategorikannya sebagai gaya ‘Board Tracker’ atau ‘Land Speed Racer’, tetapi saya mulakan dengan dua enjin Yamaha RXZ yang saya gabungkan menjadi satu unit. Dari situ saya membina motosikal di sekeliling enjin yang pada pendapat saya, mempunyai perkadaran dan garisan yang tepat. Untuk sentuhan terakhir, saya mensasarkan tahap ketepatan fabrikasi yang paling tinggi yang saya mampu capai.”

 

Art Of Speed Malaysia (AOSM) amat bangga untuk membiayai penyertaan Cheng dalam acara tersebut, dengan bajet RM60,000 untuk menghantar motosikal tersebut ke Jepun, termasuklah penerbangan, hotel, pengangkutan, dan logistik.

 

Bagi meraikan acara ini, pasukan AOS akan menghasilkan sebuah filem pendek bagi meraikan serta memperingati perjalanan RXZ Twin Boss V2 dari Ipoh, Malaysia ke Yokohama, Jepun.

 

Projek filem ini akan menampilkan Cheng sendiri, pembina kustom dari Ipoh, bersama-sama dengan Farid Nabawi, Pengarah Kreatif AOS. Hanif Sulhi, pemenang Anugerah Siri Dokumentari Terbaik 2023, Fail Mahkamah TV3, akan membawa bakatnya dalam penceritaan dan menjadi pengarah filem pendek tersebut. Dengan tajuk “RXZ Balik Kampung: Dari Ipoh ke Yokohama”, mesej yang penuh inspirasi ini bertujuan untuk memperkasakan kreativiti dalam kalangan belia, menyemai keseronokan, dan mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.

 

Filem pendek ini akan dibahagikan kepada siri 6 episod, dengan tayangan perdana di semua platform sosial AOS pada hari Krismas, 25 Disember 2024.

 

Lebih menarik lagi, filem ini akan dihantar ke pelbagai Festival Filem Antarabangsa, termasuk Festival Filem Motosikal (Toronto, Kanada), VAHNA Motorcycle Film Festival (USA), dan Dubai Motorcycle Film Festival (Dubai).

 

AOSM percaya bahawa penyertaan Malaysia dalam acara ini akan menonjolkan bakat rakyat Malaysia di persada dunia dan membawa perhatian global kepada industri kreatif Malaysia terutamanya dalam dunia kustom.

 

Pasukan AOS akan berada di Jepun selama 6 hari bersama 15 peserta rombongan untuk menyokong dan memberikan semangat kepada FNG Works!

 

Asep Ahmad, Pengarah Festival AOSM, berkata, “Kami amat berterima kasih kepada semua yang menyokong acara Art Of Speed, yang membolehkan kami membawa rakyat Malaysia ke luar negara untuk mempamerkan bakat mereka. Kami teruja untuk FNG Works menyertai acara yang berprestij ini dan berharap ramai lagi akan mengikuti jejak mereka untuk menjadi pembina kustom bertaraf dunia di pentas dunia.”

 

Art Of Speed juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada KEJOS AUTOPROJECT atas sokongan logistik di Jepun untuk Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32.

 

Anugerah Tempatan: 

13th Annual Art of Speed Malaysia 2024:

ANUGERAH PILIHAN AWAM

Pemenang: FNG WORKS – IRWANN CHENG

Model Kenderaan: RXZ TWIN BOSS V2

PEMENANG PILIHAN JURI

Pemenang : FNG WORKS – IRWANN CHENG

Model Kenderaan : RXZ TWIN BOSS V2

 

Maklumat lanjut mengenai acara ini boleh didapati di www.artofspeedmy.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *