Peniaga suka hati ‘cop’ meja makan, penguat kuasa MBI akan ambil tindakan

Medan Selera Stadium Perak antara premis di bawah seliaan MBI. - Foto Media Sosial
Oleh Rosdalilah Zahari
IPOH – Peniaga yang bertindak ‘cop’ meja makan serta menghalang pelanggan untuk duduk di sekitar premis medan selera akan dikenakan tindakan oleh penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Tindakan itu akan diambil ke atas peniaga-peniaga yang menjalankan perniagaan di medan selera atau premis menjual makanan dan minuman di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud berkata tiada sistem ‘cop’ meja makan diperkenalkan dan peniaga boleh dikenakan tindakan jika berbuat demikian.
Menurutnya, peniaga tidak perlu berebut pelanggan sebaliknya mengamalkan sikap bertoleransi antara satu sama lain.
“Tiada sistem ‘cop’ meja makan. Jika ada, kita akan minta penguat kuasa MBI untuk pantau di lokasi yang terlibat,” katanya selepas menyempurnakan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI 2023 di hadapan Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi menjawab isu tular di media sosial berkaitan dakwaan terdapat peniaga di Medan Selera Stadium Perak di sini yang didakwa tidak membenarkan pelanggan yang memesan makanan di gerai lain untuk duduk di meja berhadapan gerai mereka.
#PerakKini #MBI #medanselera #Ipoh #RBZ
