PASAR PAGI SUNGAI BAYOR SEPANJANG 2.32KM KEKAL TERCATAT DALAM THE MALAYSIA BOOK OF RECORD

SELAMA – Sejarah telah tercatat, Pasar Pagi Sungai Bayor, Selama, Perak telah dinobatkan sebagai pasar pagi terpanjang Malaysia sejauh 2.32 kilometer oleh The Malaysia Book Of Record (MBOR) pada 5 September 2025.

 

Dengan pengiktirafan daripada MBOR ianya sekali gus telah mengatasi rekod terdahulu yang telah dipegang oleh Pasar Pagi Temerloh di Temerloh, Pahang yang pernah dicatatkan iaitu sepanjang 2.1 km, menjadikan Pasar Pagi Sungai Bayor sebagai mercu tanda baharu kepada landskap pelancongan terkenal di daerah tersebut.

 

Rekod ini bukan sahaja menjadi kebanggaan penduduk tempatan disini, malah ianya turut menjadikan Pasar Pagi Sungai Bayor yang hanya dibuka pada hari Jumaat sebagai tarikan unik dalam landskap pelancongan domestik serta ianya secara lansung telah menambah nilai kepada keistimewaan negeri Perak dalam aspek warisan serta ekonomi tempatan.

 

Sebagai pemegang rekod MBOR ianya secara tidak lansung telah menjadi tarikan istimewa yang mampu memperkenalkan budaya perniagaan tradisional kepada pelancong tempatan dan luar negeri.

 

Antara produk yang dijual merupakan hasil kampung seperti ulam-ulaman, sayur-sayuran segar, pelbagai kuih tradisional, koleksi antik, kraftangan serta barangan basah dan kering.

 

Dengan permintaan tinggi terhadap produk ini membuktikan bahawa barangan buatan tempatan masih mempunyai pasaran luas serta memberi ruang kepada usahawan muda untuk mencuba perniagaan secara kecil-kecilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *