KBGK MEREALISASIKAN KOMPLEKS TAHFIZ AL-QURAN BERNILAI RM3.1 JUTA

SIMPANG PULAI – Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) merealisasikan pembiayaan pembangunan kompleks maahad tahfiz di atas tanah seluas satu hektar di Kampung Kepayang.
Kompleks yang dilengkapi pelbagai fasiliti untuk pembangunan pendidikan berorientasikan al-Quran dan akademik itu telah menelan kos sebanyak RM3.1 juta dan telah siap sepenuhnya pada tahun ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi KBGK, Ismail Mohamed Yusuff bertempat di Surau Dato’ Zainuddin A. Kadir pada Jumaat.
Ismail dalam ucapannya, majlis pada malam ini melibatkan kolaborasi diantara KBGK dan Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Addin (MTAWQA) sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri KBGK 2026.
“Syukur alhamdulillah, KBGK berjaya membuka satu lagi pusat Tahfiz Wanita MTAWQA hasil daripada sumbangan daripada semua ahli – ahli kelab dan buat julung kalinya jamuan raya serta perasmian dilakukan serentak.
“Janganlah kita sekadar menilai Kompleks Tahfiz Al-Quran bernilai RM3.1 juta sebaliknya yang lebih berharga adalah hasil usaha semua ahli – ahli KBGK yang bekerja keras menjadikan kejayaan ini satu realiti, ” ujarnya.
Beliau turut menambah, sebelum ini, kelab elit itu turut membantu pembiayaan Maahad Tahfiz Imtiyaz di Chemor, Maahad Tahfiz Addin di Tapah serta Maahad Tahfiz Imtiyaz di Ulu Kuang.







