Pencapaian atlet bertaraf dunia, jurulatih harap KBS iktiraf sukan Muay Thai

Oleh Rosdalilah Zahari

KEJAYAAN atlet Muay Thai negara pada Kejohanan Muay Thai Dunia 2023 di Bangkok, Thailand membuktikan sukan itu layak diangkat dan diiktiraf menjadi sukan teras setaraf dengan sukan utama lain di negara ini.

Ketua Jurulatih Skuad Muay Thai Kebangsaan, Muhammad Bernard Radin berkata penglibatan dan prestasi cemerlang atlet sukan itu dapat dilihat menerusi kejayaan Mohammad Rifdean Masdor yang berjaya mengekalkan  gelaran dunia tiga kali berturut-turut pada kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata atlet sukan itu tidak mendapat sokongan dan bantuan seperti sukan lain walaupun pencapaian mereka bertaraf dunia.

“Saya berharap sukan Muay Thai ini diiktiraf sama dengan mana-mana sukan dan diberi bantuan yang sewajarnya kerana kami tidak pernah gagal untuk melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

“Terlalu banyak kejayaan kami berikan untuk Perak, untuk negara, jadi kami berharap kami dipandang dan pembangunan sukan Muay Thai perlu diteruskan dan tidak boleh direhatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika Program Penyatuan Ukhuwah Fisabilillah di Meow Garden di sini pada malam tadi.

Bernard (dua dari kiri) bersama atlet Muay Thai diraikan ketika Program Penyatuan Ukhuwah Fisabilillah di Meow Garden di sini pada malam Sela

Bernard (dua dari kiri) bersama atlet Muay Thai diraikan ketika Program Penyatuan Ukhuwah Fisabilillah di Meow Garden di sini pada malam Selasa.

Hadir sama, Mohammad Rifdean, Nur Amisha Azrilrizal yang merangkul kejuaraan sulung kategori wanita pada kejohanan yang sama serta Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli atau Jebat yang menggenggam perak pada kejohanan itu.

Timbalan Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) itu berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu memberikan peluang kepada sukan Muay Thai untuk beraksi pada Sukan Sea 2025 di Thailand kerana mereka dilihat yang mampu untuk menyumbang pingat emas kepada negara.

“Memandangkan 2025 Thailand akan menjadi tuan rumah (Sukan Sea) macam kita tahu sukan Muay Thai ini adalah sukan tradisi untuk Thailand.

“Boleh saya katakan ini adalah salah satu lombong atau satu kilang untuk kita (atlet Muay Thai) mencapai pingat emas untuk membantu kedudukan kita (kontinjen negara) dalam Sukan Sea kerana kita lihat baru-baru ini kedudukan kita (kontinjen negara) kurang memberangsangkan (pencapaian di Sukan Sea 2023 di Kemboja),” ujarnya.

Beliau yakin kejayaan itu boleh diperolehi kerana sepanjang lebih 15 tahun, PMM tidak pernah gagal mencapai sasaran ditetapkan Majlis Sukan Negara dan di Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Bernard berkata ketika ini persiapan sedang dijalankan untuk penyertaan atlet ke Sirkit Kejohanan Pro Muay Thai Dunia bermula bulan depan di Bangkok, Thailand diikuti Poland dan Turkiye pada bulan Ogos.

Pada kejohanan dunia yang berlangsung pada 3 hingga 13 Mei lalu, skuad Muay Thai negara menghantar 10 orang atlet serta berjaya membawa pulang lima emas, dua perak dan satu gangsa.

#PerakKini #KBS #PMM #iktiraf #muaythai #RBZ

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *