Saya cuma tuntut hak saya – Bekas Jurulatih Perak FC tuntut baki gaji

IPOH – Bekas Ketua Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim hadir ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPMM) di sini pagi ini bersama peguamnya, Adam Yap Boon Han bagi memfailkan representasi berikutan pemecatannya yang didakwa tidak sah di bawah Seksyen 20 (1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Representasi itu difailkan susulan penamatan kontrak Teong Kim yang dilihat pra matang memandangkan kontrak beliau dengan Perak FC adalah untuk dua tahun tetapi ditamatkan serta merta dalam tempoh lapan bulan.
Boon Han berpendapat kontrak tersebut adalah pra matang dan terjumlah kepada satu pembuangan kerja yang tidak sah dan tidak adil.
“Jadi Datuk (Teong Kim) di sini mempunyai hak undang-undang dari segi representasi atau aduan kepada JPPM dan tugas jabatan ini adalah untuk menghubungi Perak FC sebagai badan pendamai.
“Tengoklah kalau mereka boleh mencapai satu kata putus secara damai maka begitulah berakhirnya.
“Tetapi kalau tidak mencapai apa-apa pendamaian atau kata putus, maka perkara ini akan dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan maka satu perbicaraan akan dijalankan,” katanya.
Mereka ditemui pada sidang media khas di Bangunan Persekutuan di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Teong Kim berkata beliau mahu meninggalkan Perak FC dengan cara yang baik.
“Saya datang ke Perak FC dengan baik dan nak tinggalkan Perak FC dengan cara yang baik. Tiada niat yang jahat.
“Saya fikir ini bukan kerana saya sahaja saya tiada ego, saya terima banyak pencapaian dalam karier bola sepak, jadi ini adalah (dipecat) sebahagian daripada bola sepak. Ia normal. Ada jurulatih yang lakukan baik di Bayern Munich, jurulatih Chelsea pun kena pecat. Jadi ianya tiada apa-apa,” katanya.
Selain itu, Teong Kim berkata kehadirannya memfailkan representasi pada hari ini adalah untuk menuntuk hak beliau.
“Saya cuma tuntut hak saya sahaja. Tidak lebih dan tidak kurang, cuma hak saya,” jelasnya.
Pada 24 Mei lalu, Teong Kim telah dipecat serta merta sebagai Ketua Jurulatih Perak FC dan Yusri Che lah dilantik sebagai pengendali sementara pasukan tersebut.
Pemecatannya bukan hanya berkisar kepada prestasi pasukan namun turut mempunyai beberapa faktor lain hingga menyebabkan khidmat beliau ditamatkan.
Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Zabidi berkata, antara faktor utama Teong Kim digugurkan adalah prestasi buruk pasukan dalam 12 perlawanan Liga Super.
#PerakKini #PerakFC #pecat #tuntut #hak #RBZ
