Gara-gara dikejar anjing, remaja lelaki patah tulang bahu akibat langgar tembok rumah

Oleh Rosdalilah Zahari

IPOH – Seorang remaja lelaki patah tulang bahu akibat melanggar tembok rumah dan terjatuh ketika menaiki basikal sewaktu melarikan diri daripada dikejar seekor anjing di Taman Rapat Permai, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang berusia 40 tahun kira-kira jam 5.30 petang.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berusia 14 tahun itu menunggang basikal bersendiriran dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Pada jam lebih kurang 11.30 pagi, semasa bapa mangsa berada di rumah di Taman Rapat Permai anak lelakinya telah pulang ke rumah dalam keadaan sesak nafas dan cedera di bahagian dada sebelah kiri.

“Mangsa memberi tahu kepada bapanya, semasa dia sedang menaiki basikal untuk pulang ke rumah, dia dikejar seekor anjing sehingga terlanggar tembok di salah sebuah rumah di kawasan perumahan tersebut.

“Selepas mangsa terjatuh, anjing itu telah melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Yahaya berkata hasil siasatan mendapati anjing itu sering kelihatan berada di hadapan sebuah rumah di kawasan perumahan tersebut.

“Penghuni di rumah berkenaan menafikan anjing itu miliknya tetapi menyatakan anjing itu sering berada di hadapan rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang mengalami kecederaan patah tulang bahu perlu menjalani pembedahan.

Katanya, aduan juga dibuat kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berhubung anjing yang mengejar penduduk di kawasan perumahan tersebut.

“Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” jelasnya.

#PerakKini #PDRM #MBI #anjing #kejar #remaja #cedera #RBZ

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *