Suami maut selepas hantar isteri ke tempat kerja

Oleh Rosdalilah Zahari
BOTA – Seorang lelaki meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya terbabas di Kilometer 42, Jalan Ipoh-Lumut dekat Jambatan Bota, di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 10.15 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Syafiq Muhammad Nazri, 23, maut di tempat kejadian.
Mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Baru Layang-Layang Kanan selepas menghantar isterinya ke tempat kerja di Titi Gantung.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda seorang diri dari arah Lumut menghala ke Ipoh dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Changkat Melintang mendapati punca kematian disebabkan oleh kecederaan parah di bahagian kepala.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes kemalangan tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Inspektor Nur Muhammad Aizat Abdullah di talian 05-371 2222.
#PerakKini #maut #kemalangan #RBZ
