DS PEJA TETAP SOKONG MUHYIDDIN

KENYATAAN MEDIA TIMBALAN PRESIDEN BERSATU
Semua Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan ini menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin untuk terus menerajui negara.
Kami menaruh keyakinan penuh kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin yang telah membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat dan menjana semula ekonomi negara yang amat terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 sejak enam bulan yang lalu.
Semua Ahli Parlimen BERSATU juga berpendirian bahawa dakwaan Ketua Pembangkang YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya beliau telah mendapat sokongan majoriti di kalangan ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu, sebagai satu lagi gimik politik.
Ia dilihat tidak lebih daripada percubaan untuk mengkucar-kacirkan kepimpinan negara tatkala rakyat semakin yakin dengan kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin untuk menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan krisis ekonomi susulan penularan pandemik Covid-19.
Sekiranya YB Dato’ Seri Anwar benar-benar mempunyai sokongan majoriti, beliau seharusnya membuktikan dakwaan itu menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tindakan YB Dato’ Seri Anwar semalam dilihat seolah-olah cuba mensabotaj ekonomi negara dengan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kestabilan kerajaan, apabila kenyataan beliau dilaporkan oleh media antarabangsa.
Perbuatan ini sama sekali tidak baik kepada ekonomi negara tatkala kerajaan sedang memberi tumpuan kepada pelbagai inisiatif untuk meringankan beban rakyat dan membantu komuniti perniagaan untuk terus kekal berdaya saing dalam tempoh yang amat mencabar ini.
Ahli-ahli Parlimen BERSATU dengan ini ingin menyeru semua rakyat untuk kekal bertenang dan terus memberikan sokongan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin dan kepimpinan kerajaan untuk terus menumpukan segala perhatian kepada urusan pentadbiran negara dalam keadaan kita masih berperang melawan pandemik Covid-19.
Sekian, terima kasih.
DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
Khamis, 24 September 2020
