KELAB BAKTI GUNUNG KELEDANG SANTUNI 86 ANAK-ANAK YATIM SEKITAR BANDARAYA IPOH

IPOH – Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) berkolaborasi bersama Takaful Ikhlas General Berhad (TIGB) melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang sentiasa menjadi acara wajib bagi setiap tahun ketika di bulan Ramadan.
Program bersama anak-anak yatim diserikan dengan kehadiran Pengerusi Kelab Bakti Gunung Keledang, Hamzah Dato’ Hamdan bertempat di pasaraya The Store ,Jalan Kampar pada pagi tadi.
Turut mengiringi, Penolong Naib Presiden TIGB Perak, Azhar Abdul Rahman, Timbalan Presiden KBGK, Ismail Mohamed Yusoff , Ketua Biro Kebajikan KBGK, Mohammad Fazli Omar serta pegawai pengawasan anak yatim.
Hamzah berkata, KBGK sentiasa menjaga kebajikan insan-insan yang memerlukan terutama asnaf serta anak yatim.
“Sebanyak 86 orang anak yatim sekitar bandaraya Ipoh telah diraikan pada hari ini untuk membeli keperluan seperti baju raya,kasut dan sebagainya.”
“Program pada hari ini telah mendapat kerjasama dari pihak TIGB yang turut sama menjayakan program ini”
” Sebanyak 3 pertubuhan telah dipilih iaitu Madrasah Maahad Tahfiz Darul Zakirin seramai 31 orang, Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta seramai 18 orang dan Pertubuhan Badan Kebajikan Anak Yatim Darul Salam seramai 37 orang”,ujar beliau kepada Perak Kini.
Menurut Azhar, ini adalah kerjasama diantara KBGK dan TIGB dalam membantu anak-anak yatim membuat persediaan awal sempena Aidilfitri yang akan tiba dan berharap dapat berkerjasama lagi pada masa yang akan datang.
Setiap anak-anak yatim menerima peruntukan sebanyak RM150 seorang beserta duit raya.
Pihak pengurusan The Store turut berbesar hati menyampaikan cenderahati kepada setiap anak-anak yatim yang hadir.







