200 Atlet Antarabangsa Sertai World Triathlon Development Regional Cup dan Asia Triathlon Junior Cup 2025

KAMPAR – Lebih 200 atlet dari 23 negara membanjiri Kampar, Perak sempena World Triathlon Development Regional Cup dan Asia Triathlon Junior Cup 2025 berlangsung di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampar.
Penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa itu dikendalikan oleh Persatuan Triathlon Negeri Perak dengan kerjasama Majlis Daerah Kampar.
Ia merupakan tahun kedua acara ini diadakan di Kampar, menjadikannya sebagai salah satu acara sukan tahunan penting daerah tersebut.
Menurut penganjur, kejohanan ini bukan sahaja berperanan sebagai platform pembangunan atlet triatlon muda di rantau Asia, malah menjadi sebahagian daripada proses pemilihan atlet kebangsaan ke Sukan SEA 2025. Selain itu, ia juga memberi impak besar dalam pengumpulan mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2028, khususnya bagi kategori remaja.
Triatlon merupakan acara yang mencabar ketahanan fizikal dan mental, merangkumi tiga disiplin utama – renang, berbasikal dan larian – yang menguji keupayaan atlet secara menyeluruh.
Antara negara yang mengambil bahagian termasuk Malaysia, Indonesia, Kazakhstan, Singapura, Vietnam, Filipina, Korea Selatan, Macau, Qatar, Iran, Thailand, Palestin, Jordan, Turkiye, Uzbekistan, Chinese Taipei, India, Kyrgyzstan, Kenya, Hong Kong, Jepun dan Australia.
Penganjuran program ini dijangka merancakkan sektor pelancongan sukan tempatan serta memberikan impak ekonomi kepada komuniti setempat, sejajar dengan matlamat menjadikan Kampar sebagai hab pembangunan sukan bertaraf antarabangsa.
Turut hadir Loh Sze Yee, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan, dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Dr. Alex Khoo Peng Chuan, Presiden Persatuan Triathlon Negeri Perak, Angeline Koo Haai Yen, ADUN Keranji, Shasha Veraiah, ADUN Malim Nawar, Toh Muda Orang Kaya Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja, Azman Yeop Junior, Orang Besar Jajahan Kampar, Ahmad Suqairy Alias, Yang Dipertua MDKpr, serta Mohd Fauzan Baharuddin, Wakil Tourism Perak.








