IPOH BIG BROTHER’S ANJUR SILAT INTERNATIONAL CHALLENGE 2025

GOPENG – Ipoh Big Brother’s ( IBB ) telah menganjurkan Silat International Challenge 2025 untuk edisi kali ke-2 pada tahun ini.

Kejohanan pada kali ini berlangsung selama 2 hari bermula dari 26 sehingga 27 Julai yang melibatkan peserta berumur dari 11 tahun sehingga 30 tahun bagi kategori remaja dan terbuka.

Majlis penutup serta penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Wakil Unit Perhubungan Korporat dan Pelancongan Majlis Daerah Kampar, Syaiman Muhammad Salleh Yap bertempat di Arena Mak Anjang, Kampung Pintu Padang.

Turut mengiringi, Yang Dipertua Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Perak, Mohamad Zuraimi serta Pengarah Program merangkap Presiden Persatuan Budak Bas Stand Ipoh @ Ipoh Big Brothers, Amiruddin Mohd Daud .

Amiruddin atau lebih dikenali Tok Anjang berkata, objektif pertandingan ini bertujuan untuk mencari Pendekar Sejati yang memerlukan peserta melalui pelbagai cabaran fizikal dan seni silat dengan harapan untuk memperluaskan lagi skop persilatan.

” Sepanjang 2 hari peserta akan menempuh acara memanah, pertandingan seni silat, lompatan serta larian rentas merdeka sejauh 5 kilometer dengan halangan yang tertentu.

” Untuk edisi berikutnya, kita bercadang akan melibatkan acara berkuda dan juga berenang serta tambahan disiplin yang lebih bermanafaat”, ujar beliau kepada Perak Kini.

Johan bagi kategori terbuka dimenangi oleh pasukan ‘Mengkudu Fighter’ yang dianggotai oleh Faizal Hasmi dan Muhammad Danish Haziq yang membawa pulang wang tunai RM1000 serta sijil penghargaan.

Tempat ke-2 diungguli oleh pasukan ‘Budak Melayu’ yang dianggotai oleh Muhammad Danish Hakimi Rahimi dan Muhammad Adib Abdullah yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM800 serta tempat ke-3 jatuh kepada kumpulan ‘Wadison PSSGWKJ’ yang dianggotai oleh Muhammad Faris Aizad Azwadi dan Muhammad Fikri Azim Azwadi yang membawa pulang wang tunai RM 600 .

Johan bagi kategori remaja dinobatkan kepada kumpulan ‘Tok Juang Fighter’ yang dianggotai oleh Afiq Nizam dan Muhammad Adam Iman Eady Raiff yang membawa pulang wang tunai RM700 serta sijil penyertaan.

Naib johan jatuh kepada kumpulan ‘Raja Ligor’ yang dianggotai oleh Muhammad Ikhwan Rusdi dan Muhammad Danish Mohd Isni Faizal yang membawa pulang wang tunai RM500 dan tempat ke-3 dinoktahkan kepada kumpulan ‘Lintau Warrior A’ yang dianggotai oleh Muhammad Rafiq Shazwan Rafee dan Sani Alzabani Mohd Saad yang membawa pulang wang tunai RM 400 serta sijil penghargaan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *