JELAJAH TIC PRIHATIN BANTU KELUARGA ASNAF

IPOH – TAJ International College ( TIC ) menerusi Siri Jelajah Semenanjung Malaysia TIC Prihatin yang bertemakan ‘1 Keluarga Dibantu, 1 Anak Dibimbing’, adalah program julung kali diadakan dan menyentuh hati kerana ia bukan sekadar menghulurkan bakul makanan, malah mengubah masa depan keluarga B40 yang terhimpit kesempitan hidup.

 

Setiap keluarga yang terpilih akan mendapat bekalan makanan asas selama setahun dan pengagihan dilaksanakan setiap dua bulan.

 

Bukan itu sahaja, malah mereka juga turut diberi peluang mengikuti kursus keusahawanan, bimbingan berniaga dan sokongan pembiayaan daripada TEKUN, MARA serta AIM bagi membuka pintu rezeki baharu dan anak-anak daripada keluarga ini diberi laluan istimewa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dalam program Cikgu Next Gen serta TVET Profesional di TIC.

 

Mereka bukan sahaja ditaja dengan zakat, bantuan yayasan negeri, biasiswa penginapan dan separa, malah turut dibekalkan wang saku TIC .

 

Ketua Eksekutif TIC, Tina Tajuddin, yang juga Tokoh IKON Negeri Perak 2024/2025 berkata, inisiatif ini lahir daripada doa dan impian ramai ibu bapa B40 yang mahu melihat anak-anak berjaya.

 

“Melalui TIC Prihatin, kami ingin buktikan keluarga miskin juga berhak melihat anak mereka melangkah ke universiti malah kami di TIC bukan sekadar memberi peluang belajar, tapi kami berdiri teguh bersama mereka iaitu dari dapur hingga ke dewan kuliah,” katanya ketika diwawancara oleh Perak Kini.

 

Program ini turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk JPN Perak, PTPTN, MYDIN, TEKUN Nasional, iKon Wanita Malaysia, MUBARAK, selain sokongan universiti-universiti terkemuka seperti UUM, UKM, UPM, UM, DRB Hicom University, GEOMATIKA University dan TATI University.

 

Setiap negeri yang dilawati akan menyaksikan pemilihan hanya 100 keluarga dan 100 pelajar terpilih dan pemilihan ini dibuat secara telus serta memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar miskin dan pelajar yang mempunyai semangat tinggi untuk berjaya.

 

Dengan pendekatan menyeluruh ini, siri jelajah TIC Prihatin diharapkan menjadi cahaya buat keluarga keluar dari belenggu kesempitan hidup dan menempuh masa depan yang lebih cerah.

Salah seorang penerima TIC Prihatin, Parameswary Gewa, 18, berkata, saya kini mengikuti Diploma Teaching As Second Language dan amat berterima kasih kepada TIC terutama Puan Tina yang memberikan peluang untuk kehidupan yang lebih baik.

Bagi Muhammad Nuraiman Haziq Husni, 22, berkata, saya pernah bekerja dirangkaian makanan segera dan hampir tidak menyangka akan diberi peluang menyambung pelajaran melalui TIC Prihatin yang kini mengikuti Diploma Pengurusan Automotif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *