RUMAH TERBUKA AIDILFITRI JPKK KAMPUNG DESA PERWIRA ERATKAN UKHUWAH KOMUNITI

GUNUNG RAPAT – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Desa Perwira telah menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2026 dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat yang turut memeriahkan lagi suasana majlis.

 

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Desa Perwira pada hari ini.

 

Turut mengiringi, Orang Besar Jajahan Kampar, Toh Muda Orang Kaya-Kaya Panglima Bukit Gantang Seri Amar Diraja Azman Dato’ Seri Yeop Junior, Penghulu Besar Negeri Perak, Dr. Mohd Sani Kamaruddin, Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Clr. Chris Chung, Pengurus Econsave Bercham, GV Rakesh, Pengerusi JPKK Kampung Desa Perwira, Juliana Adam serta dif-dif jemputan.

 

Juliana berkata, penganjuran kali ini lebih istimewa dengan kehadiran para pemimpin masyarakat, penduduk kampung serta komuniti berhampiran tanpa mengira bangsa dan agama.

 

” Majlis Jamuan Hari Raya pada tahun ini membawa seribu satu kelainan dan keistimewaan apabila kita turut bersama – sama meraikan kehadiran anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Cahaya Kasih Kinta Perak seramai 20 orang dan bakal menerima sumbangan penajaan barangan keperluan asas daripada Econsave Bercham.

 

“JPKK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Wong Chai Yi, ADUN Simpang Pulai diatas keprihatinan beliau menjayakan projek menaiktaraf pembangunan di kawasan seliaan JPKK antaranya kejayaan mitigasi banjir di Taman Hillview yang sangat2 diperlukan oleh warga penduduk bagi mengatasi banjir kilat sejak bertahun2 lamanya.” ujarnya.

 

Beliau turut menambah, selain daripada jamuan yang disediakan dan penyampaian duit raya, JPKK juga turut mengadakan acara menarik iaitu Kerusi Berirama, Pakaian Tercantik serta Cabutan Bertuah untuk memeriahkan lagi suasana majlis pada kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *