collapse
Home / SUKAN / AALIYAH YOONG PECAHKAN REKOD BAHARU ASIA

AALIYAH YOONG PECAHKAN REKOD BAHARU ASIA

14-Oct-2026  Mohd Azizi Abdul Latif  8 views
AALIYAH YOONG PECAHKAN REKOD BAHARU ASIA

FLORIDA - Atlet sukan ski air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah terus melangkaui batas kemampuannya selepas menampilkan prestasi luar biasa dalam pertandingan Holy Cow Cup di Florida, Amerika Syarikat.

Pertandingan yang berlangsung di Tasik Grew, Polk City pada 9 hingga 11 Oktober 2026 itu membuktikan Aaliyah merupakan antara pemain ski terbaik di Asia apabila beliau kini memegang rekod baharu Asia bagi kesemua empat kategori — Gerakan (Trick), Lompatan (Jump), Larian Halangan (Slalom), dan Keseluruhan.

 IMG-20261014-WA0011
Aaliyah, 23 tahun, mencatat peningkatan rekod peribadi baharu dalam acara slalom dengan berjaya melepasi dua pelampung pada jarak 11 meter (2@11m).

Beliau juga turut mencipta rekod lompatan peribadi baharu sejauh 51.9 meter, mengatasi rekod terdahulunya iaitu 51.1 meter dan pencapaian ini sekaligus mematahkan rekod Asia yang telah lama dipegang oleh Saaya Hirosawa dari Jepun iaitu sejauh 51.2 meter.

“Hasil pencapaian ini juga membantu saya mendapatkan kedudukan permulaan yang lebih baik bagi Kejohanan Dunia Ski Air IWWF di Australia tahun hadapan, yang diharapkan akan memberikan saya keadaan cuaca dan persekitaran yang lebih sesuai untuk beraksi,” ujar Aaliyah yang dijadualkan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Florida Southern College (FSC) pada Disember 2026.

Memasuki fasa akhir musim pertandingannya, Aaliyah kini bersiap sedia untuk menghadapi Kejohanan Kebangsaan Ski Air Kolej NCWSA yang akan diadakan di California minggu hadapan dan menyasarkan Pasukan ski air FSC yang diwakilinya untuk menduduki tempat ketiga terbaik daripada 12 pasukan kolej bahagian pertama.

 IMG-20261014-WA0013
“Sasaran peribadi saya adalah untuk meraih pingat emas dalam acara gerakan, lompatan dan kategori keseluruhan,” ujarnya.

Beliau telah membuktikan kedudukannya sebagai pemain ski air wanita terbaik Asia dengan merangkul tiga pingat emas pada Kejohanan Ski Air Universiti Dunia IWWF 2025 di New Zealand.

Mengimbau kembali pencapaiannya dalam Grand Prix Travers (Liga Profesional Ski Air) 2026 yang diadakan di Sunset Lakes, Groveland, Florida pada bulan September lalu, Aaliyah mencatat rekod peribadi terbaik dalam acara slalom iaitu satu pelampung pada jarak 11.25 meter ([email protected]), sekaligus memperbaiki rekod lamanya iaitu lima pelampung pada jarak 12 meter (5@12m).

Ini merupakan kejohanan slalom profesional pertama yang disertainya, walaupun beliau sebelum ini telah menyertai acara gerakan dan lompatan peringkat profesional.

“Slalom bukan acara kekuatan saya namun pilihan utama saya adalah acara gerakan dan lompatan dan sebagai pemain yang bertanding dalam ketiga-tiga acara, saya sentiasa berusaha meningkatkan prestasi slalom bagi melonjakkan kedudukan keseluruhan saya,” jelas Aaliyah.

Ketika ini, Aaliyah menduduki tangga teratas sebagai pemain ski air wanita terbaik Asia, dengan kedudukan dunia ke-7 dalam acara lompatan dan ke-11 dalam acara gerakan.

Bagi acara slalom pula, beliau kini berada dalam kalangan 100 pemain terbaik dunia.

Langkah seterusnya, Aaliyah kini menumpukan persiapannya bagi Kejohanan Dunia Ski Air IWWF yang akan diadakan di Australia pada Februari 2027, serta Sukan SEA 2027 yang akan dihoskan oleh Malaysia pada September tahun hadapan.


Share:

Your experience on this site will be improved by allowing cookies.