IPOH – Kejohanan Taekwondo Jemputan RSB 2026 berlangsung meriah di Arena Badminton Perak dengan menghimpunkan lebih 1,800 penyertaan daripada 60 buah kelab seluruh negara termasuk dari Sabah.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh, Penolong Pengarah Kanan (Sukan), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak yang mewakili Menteri Belia dan Sukan.

Beliau turut menyampaikan Cek Cura Bantuan Geran Padanan Sukan (GPS) kepada Kelab Taekwondo RSB, diwakili Grandmaster Nawaz Khan Mohd Kassim sebagai sokongan terhadap usaha memperkukuh pembangunan dan penganjuran aktiviti sukan di peringkat akar umbi.
Kejohanan ini turut diserikan dengan penampilan khas lagenda muzik rock tanah air, Mus yang menghiburkan para pengunjung menerusi persembahan istimewa.

Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform kepada atlet untuk menguji kemampuan dan meningkatkan prestasi dalam sukan taekwondo, malah turut memperkukuh jaringan kerjasama antara kelab serta menggalakkan pembangunan sukan seni bela diri di Malaysia.



