IPOH — Lions Club of Perak Silver State (LCPSS) dengan kerjasama Ipoh City Watch, Kawasan Rukun Tetangga Jelapang, Loyal Academy dan Persatuan Keselamatan Komuniti Bukit Merah hari ini menganjurkan program khas yang menggabungkan usaha pemuliharaan alam sekitar, pencerahan keselamatan serta sumbangan kebajikan kepada golongan memerlukan.

Program telah dimulakan dengan aktiviti penanaman pokok, bagi meneruskan usaha yang bermula sejak 4 April 2021 bertempat di The Loyal Academy pada pagi Ahad.
Sebanyak dua batang pokok telah ditanam dari jenis pokok 'Eugenia' atau dikenali sebagai pokok kelat paya dan juga spesis 'Bucida' atau juga dikenali sebagai pokok doa.

Sejurus penanaman pokok, satu seminar bertajuk,'Ceramah Keselamatan Atas Talian Elak Penipuan Siber' telah disampaikan oleh MD 308 Past Council Chairperson, Leo-Lion Potter Ka Kai Fong.
Seramai 60 orang telah menghadiri sesi ceramah berkenaan kesedaran penipuan dalam talian dan keselamatan siber.
Peserta turut didedahkan dengan taktik semasa penipuan serta langkah pencegahan yang boleh diamalkan setiap hari.

Sesi seterusnya disampaikan oleh District 308B2 Chairperson for Environment, Lion Dr. Richard Ng bertajuk 'Amalan Semula dan Pengurusan Sampah Kunci Kelestarian Alam' telah memfokuskan kepada pengurusan sisa dan kelestarian alam.
Dr. Richard berkata, antara topik yang diterapkan adalah sisa organik tidak sepatutnya dibuang, sebaliknya dijadikan baja kompos serta kurangkan penggunaan plastik.

"Sekitar 15 sehingga 20% sampah boleh digunakan semula, pilih barang tahan lama untuk kurangkan pembaziran dan sisa, kurangkan penggunaan plastik kerana ianya meningkatkan suhu persekitaran dua kali ganda dan katakan 'TIDAK' kepada plastik sekali guna.
"Jangan hanya fikir cara dibuang sebaliknya fikir cara guna semula apa yang kita sudah ada kerana itu adalah kunci negara lestari,"katanya.
Sebagai penutup majlis, penyampaian sumbangan telah disalurkan kepada 30 orang daripada golongan B40 dan pendekatan ini membolehkan pihak penganjur menyantuni mereka sambil menyebarkan mesej positif perubahan sikap dan kebersamaan kepada semua lapisan masyarakat.

Secara keseluruhan, lebih 130 orang terlibat dalam keseluruhan program pada hari ini dan sekaligus mengubah minda masyarakat serta memberi impak yang lebih baik.