TRONOH - Kelab Sukan Kecergasan Wawasan (KSKW) yang telah di tubuhkan pada tahun 2023 adalah inisiatif bagi menghidupkan semula gaya hidup sihat terutamanya senamrobik serta pelbagai aktiviti melibatkan kecergasan.
Pada penganjuran kali ini KSKW turut berkolaborasi bersama Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Gopeng yang telah diadakan di Dewan Agensi Pembangunan Belia Malaysia, Batu Gajah pada hari ini.

Majlis penutup Aerobicthon 2 Jam Tanpa Henti telah disempurnakan oleh Setiausaha MDBG, Muazatul Adawiyah Mohammad yang turut di iringi Pengerusi KSKW, Noradidah Mokhtar serta Pegawai KEMAS Gopeng, Azhan Zaini.
Muazatul berkata, MDBG sentiasa memberikan kerjasama melibatkan penganjuran program aktiviti kecergasan terutamanya melibatkan komuniti Batu Gajah.

"Saya amat teruja melihat usaha KSKW mengadakan inisiatif menjayakan program sebegini demi melahirkan komuniti yang sihat dan sejahtera serta ianya perlu di terapkan di peringkat kanak-kanak serta pelbagai peringkat umur.
"Berkenaan cadangan Aerobicthon 48 jam tanpa henti itu, kita akan memperhalusi cadangan tersebut ke pihak atasan," katanya.
Noradidah pula berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu 2 jam untuk Sekolah Menengah dan Terbuka, 1 jam untuk Sekolah Rendah manakala 30 minit untuk Tadika.

"Jumlah penyertaan pada kali ini sebanyak 300 orang dan acara khas kategori Tadika sebanyak 50 penyertaan dimana para pemenang akan membawa pulang wang tunai dan sijil penyertaan.
"Berkenaan cadangan Aerobicthon 48 jam tanpa henti, sudah pastinya kita akan menyahut cabaran tersebut dan akan bekerjasama dengan mana-mana jabatan yang sudi membantu menaikkan aktiviti komuniti masing-masing," ujarnya.




