MERU - Program Santai Bicara Bersama Anak Muda yang dianjurkan Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun berjaya diselesaikan dengan jayanya hari ini, menarik kehadiran lebih 200 orang belia walaupun hanya dirancang dalam tempoh masa singkat iaitu seminggu.
Program yang diadakan secara santai namun bermakna ini menjadi wadah pertemuan untuk mengumpul anak muda yang rata-ratanya dahagakan pengetahuan berkaitan senario politik semasa negara serta ingin memahami peranan sebenar mereka dalam membentuk masa depan Malaysia.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Penaja Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun, Muhammad Fadhli Ismail bertempat di Meru Heights pada malam Sabtu.
Turut mengiringi, Ketua Pemuda Penaja Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun, Muhammad Amirul Ashraf serta Ketua Wanita Penaja Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun, Mawardah Ahmad Yusni.

Fadhli Ismail berkata, dalam sesi penyampaiannya, beliau telah membentangkan hala tuju Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun, sekaligus menekankan kepentingan kebertanggungjawaban golongan anak muda mengubah landskap politik negara.
"Kita mahu mereka berada seiring dengan seluruh rakyat Malaysia menjelang pilihan raya akan datang serta sebagai pengundi yang turun menunaikan tanggungjawab dan amanah.

"Tanggungjawab parti politik adalah menyampaikan mesej sebenar iaitu mengapa perlunya berpolitik dan mengapa politik di Malaysia perlu terus disemarakkan," ujarnya.
Amirul Ashraf pula berkata, seperti yang dapat disaksikan oleh semua hadirin, sambutan yang diterima pada malam ini sungguh luar biasa dan saya amat berbangga dengan kepercayaan yang telah diberikan serta bersyukur segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Berdasarkan apa yang kita saksikan, jelas sekali golongan anak muda memberikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi kepada Tuan Muhammad Fadhli dan semangat ini menjadi bukti keyakinan serta harapan generasi muda terhadap kepimpinan beliau untuk masa hadapan,"katanya.
Kehadiran seramai lebih 200 orang anak muda yang memberi fokus penuh terhadap perbincangan membuktikan kesungguhan golongan belia menentukan arah tuju negara.

Selain sesi penyampaian maklumat, program turut dimeriahkan dengan perkongsian rezeki, jamuan makan malam serta pertukaran pandangan secara terbuka di kalangan hadirin.
Slogan "Kita Adalah Sebuah Keluarga" diperkenalkan di Wawasan Negara Tambun, dengan harapan momentum dan semangat kekeluargaan ini dikekalkan agar jentera kekal utuh dan bersedia menjadi sebahagian daripada kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.