AMK TAMBUN ANJUR CUCI MOTOR RAYA PERCUMA

TAMBUN – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tambun menganjurkan program Cuci Motor Raya Percuma yang turut mendapat kerjasama daripada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Program tersebut telah dilancarkan oleh Ketua AMK Negeri Perak merangkap AMK Cabang Tambun, Ashraf Kahasani bertempat di Bojen Car Wash And Spa pada malam Rabu.
Menurut Ashraf, ini adalah program yang julung kali diadakan di Tambun, semoga ianya dapat berterusan pada masa hadapan.
“Alhamdulillah pada malam ini, sambutan cukup menggalakkan daripada kalangan anak – anak muda Tambun yang turut bersama-sama menyertai program yang telah dianjurkan.
“Pada malam ini sebanyak 100 biji motorsikal telah dibasuh dan kita selitkan juga dengan acara cabutan bertuah iaitu sumbangan duit raya kepada anak-anak muda Tambun,” katanya.
Beliau turut menambah, program yang dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun dan juga AMK Cabang Tambun adalah untuk memastikan anak-anak muda terus disantuni terutamanya dalam dikawasan parlimen Tambun.





