HAMPIR 2000 PENGUNJUNG HADIR SEMPENA JUALAN MURAH MADANI PARLIMEN BUKIT GANTANG.

BUKIT GANTANG – Orang ramai berpusu – pusu untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih murah sempena Program Jualan Termurah Madani 2026 bertempat di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang, Kampung Benggali di sini, hari ini.

 

Orang ramai mula hadir seawal pukul 7 pagi bagi membeli pelbagai barangan keperluan khususnya ayam dan daging yang dijual pada harga istimewa menerusi program anjuran Ahli Parlimen Bukit Gantang merangkap Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Dato’ Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal.

 

Syed Abu Hussin berkata, jualan murah itu diadakan sebagai persediaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup menjelang Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.

 

“Kita membeli dalam kuantiti besar, jadi kita dapat harga rendah serta boleh jual murah kepada rakyat dan ini adalah penyelesaian sebenar untuk bantu rakyat,” ujarnya.

 

Menurutnya, program tersebut akan diteruskan setiap tahun, malah pihaknya bersedia menambah bekalan sekiranya permintaan terus meningkat.

 

“Kalau tak cukup, kita boleh tambah lagi termasuk jualan pada hari berikutnya dan matlamat kita adalah memastikan seramai mungkin penduduk Bukit Gantang mendapat manfaat,” katanya kepada Perak Kini.

 

Ketua Jualan Termurah Madani, Mohd Zalie Abdullah pula berkata, sambutan terhadap jualan kali ini jauh lebih hebat berbanding tahun sebelumnya, khususnya bagi bekalan ayam dan daging lembu yang menjadi pilihan utama.

 

Menurutnya, harga ayam mentah RM7 sekilogram dan daging lembu RM24 sekilogram yang ditawarkan jauh lebih rendah berbanding pasaran semasa menjadikan ia antara faktor utama tarikan kepada penduduk setempat.

 

“Untuk ayam, kita sediakan 2,000 ekor dan sebanyak 12 ekor lembu bersamaan kira-kira 1.5 tan daging disembelih bagi memenuhi permintaan sempena Jualan Termurah Madani ini.

 

“Setakat jam 9.15 pagi tadi, separuh daripada bekalan telah habis dijual dan proses pemotongan masih berjalan kepada orang ramai tak putus-putus datang dan beratur panjang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *