KELAB BAKTI GUNUNG KELEDANG SANTUNI MASYARAKAT ORANG ASLI SEMPENA PROGRAM IFTAR RAMADAN

SIMPANG PULAI – Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) telah melaksanakan program Iftar Ramadan serta agihan kotak bantuan makanan kepada 45 keluarga masyarakat Orang Asli yang juga merupakan ‘kampung angkat’ bagi KBGK sejak belasan tahun yang lalu.
Program tersebut telah disempurnakan oleh Presiden KBGK, Ismail Mohamed Yusuff bertempat di Perkampungan Orang Asli Kampung Lalang pada malam Jumaat.
Turut hadir Mantan Presiden ke-24 KBGK, Dato’ Zakaria Abdul Kadir, Tok Batin Kpg Lalang, Tenaga Pengajar KBGK, Ustaz Muhammad Asrul Harun, Imam Surau Kampung Lalang, Muhammad Syah Rihan Diselam serta penduduk kampung dan ahli-ahli kelab.
Ismail berkata, ini merupakan satu usaha berterusan KBGK didalam menyantuni masyarakat setempat khususnya komuniti Orang Asli disamping mengeratkan hubungan silaturahim diantara ahli kelab dan penduduk kampung.
” Alhamdulillah, hasil usaha dakwah serta bimbingan berterusan, kini hampir 90 peratus penduduk Kampung Lalang telah memeluk agama Islam.
” Program sebegini merupakan aktiviti tahunan yang sentiasa dilaksanakan khususnya pada bulan Ramadan sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan penduduk kampung,” ujarnya.
Dr. Zakaria pula menambah, sejak pertama kali KBGK menjejak kaki disini, hampir sebahagian besar penduduk kampung disini pada ketika itu masih belum mempunyai pegangan agama.
” Atas keprihatinan terhadap aspek kebajikan dan pembanggunan rohani masyarakat setempat pihak KBGK telah menempatkan seorang ustaz disini.
“Ustaz yang dilantik bertanggungjawab membimbing, mendidik serta memantau perkembangan penduduk yang beragama Islam secara konsisten sehingga ke hari ini,” ujar beliau kepada Perak Kini.








