KPKT MENUJU KE ARAH 1000 TAMAN REKREASI MADANI

IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus mempergiatkan usaha mensejahterakan rakyat menerusi agenda pembangunan 1000 Taman Rekreasi MADANI ( TRM ) menjelang tahun 2035 di seluruh negara .

 

Majlis menandatangani plak TRM telah disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bertempat di Westpool Park pada Sabtu .

 

Sebelum itu, beliau turut merasmikan TRM Kledang, Mengelembu, TRM Pengkalan Barat serta Pintu Gerbang Kampung Kepayang.

 

Nga berkata, empat daripada keseluruhan 12 TRM yang dibangunkan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah siap sepenuhnya pada Julai lalu seperti yang disasarkan.

 

” Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM5.4 juta pada tahun 2024 bagi membangunkan 12 TRM di kawasan pentadbiran MBI, dengan setiap lokasi menerima peruntukan sebanyak RM450,000.

 

” Setiap TRM direka bentuk mesra Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, selain lengkap dengan pelbagai kemudahan bagi menggalakkan gaya hidup sihat, inklusif, dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” ujar beliau pada Perak Kini.

 

Beliau turut menambah, kejayaan projek komuniti ini menjadi simbol kesungguhan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam menyediakan persekitaran bandar yang lebih lestari, selesa, selamat dan inklusif untuk rakyat.

 

Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya menghargai inisiatif kerajaan dengan tidak melakukan vandalisme yang boleh menyebabkan kerugian besar dan memerlukan kerja-kerja pembaikan semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *