MAJLIS RAMAH MESRA MADANI RAMADAN LKIM BERSAMA NELAYAN PNK SUNGAI TINGGI

TRONG – Seramai 4 orang nelayan di Kawasan Sungai Tinggi telah menerima bantuan enjin sangkut 30 kuasa kuda daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia ( LKIM ) dibawah program Insentif Bantuan Penangkapan Ikan ( Touch Point ) dengan nilai bantuan sebanyak RM60,000.00.

 

Majlis Rahmah Mesra MADANI Ramadan telah disempurnakan oleh Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil bertempat di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Sungai Tinggi pada petang semalam.

 

Turut mengiringi Timbalan Pengarah LKIM Negeri Perak, Ahmad Aizuddin Ahmad Mustafa, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Perak, Mansor Yusof, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi, Abu Salim Karim serta nelayan-nelayan kawasan Sungai Tinggi.

 

Muhammad Faiz berkata, program penyerahan bantuan ini adalah bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan.

 

“Untuk bekalan ikan seluruh negara adalah mencukupi dengan program stok simpanan diantara nelayan serta syarikat swasta dan ini melibatkan lebih 10 tan metrik ikan yang telah disimpan.

 

“Kesimpulannya tiada masalah mengenai stok ikan menjelang Aidilfitri dan harga adalah terkawal dan stabil”, ujar beliau kepada Perak Kini.

 

Pada majlis yang sama Persatuan Nelayan Negeri Perak (PENGGERAK) turut menyampaikan sumbangan Zakat Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) kepada Persatuan Nelayan seluruh Negeri Perak berjumlah RM72,000.00.

 

Manakala PNK Sungai Tinggi juga turut berbesar hati menyampaikan sumbangan Zakat kepada nelayan asnaf berjumlah RM12,000.00 serta sumbangan Aidilfitri kepada anak nelayan sebanyak RM7,000.00.

 

Sumbangan tersebut disampaikan kepada 80 nelayan dan 70 anak nelayan menjelang sambutan Hari Raya yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi.

 

Usai penyampaian sumbangan majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa dengan pelbagai juadah istimewa yang telah disediakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *