MAJLIS SENTUHAN KASIH BERSAMA B40 BANDARAYA IPOH

IPOH – Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud, Datuk Bandar Ipoh telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada 71 anak-anak kategori B40 sempena Majlis Sentuhan Kasih anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Turut mengiringi Datuk Bandar Ipoh adalah Ketua Whip Ahli Majlis Bandaraya Ipoh Datuk Mazlan Abdul Rahman bertempat di Ipoh Night Market pada petang semalam.
Rumaizi berkata, program hari ini adalah kesinambungan program MBI Prihatin yang pernah dilaksanakan pada waktu Covid-19 dahulu.
” Pada tahun ini MBI telah memulakan semula dengan matlamat mengurangkan tekanan kewangan terutama golongan B40 atau miskin bandar khususnya di dalam Bandaraya Ipoh.
“Untuk pemilihan penerima adalah berdasarkan maklumat yang disediakan oleh Ahli Majlis MBI dan juga Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) untuk mengenalpasti kategori penerima yang layak.
“Untuk hari ini seramai 71 orang penerima melibatkan kawasan DUN Hulu Kinta telah dipilih daripada 12 DUN yang akan dilaksanakan secara berperingkat”, ujar beliau kepada Perak Kini.
Usai penyampaian sumbangan duit raya, majlis diteruskan dengan jamuan berbuka puasa bersama semua penerima serta tetamu undangan dengan pelbagai juadah istimewa yang telah disediakan.






