MISHA BAKAL GEGAR COASTAL COMBAT

KOTA TINGGI — Desaru Coast bersama Boxtomoi Asia bakal menganjurkan Coastal Combat 2026, acara pertarungan Muaythai antarabangsa yang bakal menghangatkan kempen Visit Johor 2026.

 

Pertandingan yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 25 Januari 2026 itu menjadi acara sukan pertama membuka tirai program pelancongan mega negeri Johor tahun depan. Edisi kali ini turut menarik penyertaan atlet dari Malaysia, Amerika Syarikat, Indonesia, Perancis dan Australia.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Desaru Coast, Izrin Hashim, penganjuran Coastal Combat 2026 bukan sekadar menampilkan aksi pertarungan, malah digarap sebagai festival hujung minggu yang menggabungkan sukan tempur, hiburan dan tarikan pelancongan tepi pantai.

 

*Desaru Coast yang terkenal dengan resort mewah dan pantai yang memutih kini memanfaatkan kelebihan tersebut sebagai hub pelancongan sukan serantau yang mampu menarik pengunjung dari seluruh ASEAN.*

 

Acara ini meneruskan momentum penganjuran acara global seperti IRONMAN dan L’Étape by Tour de France yang telah melonjakkan nama Desaru Coast ke peringkat antarabangsa,”katanya.

 

Dalam pada itu, antara tumpuan utama di kejohanan tersebut ialah atlet Muaythai negara, Nur Amisha Binti Azrilrizal, 23, dari Ipoh, Perak.

 

Membawa rekod 67 pertarungan (32 profesional, 35 amatur) dan pengalaman 17 tahun, Amisha kini menyandang status Atlet Wanita No.1 Malaysia serta tiga kali pemegang tali pinggang kejuaraan kebangsaan.

 

Beliau turut meraih pelbagai kejayaan antarabangsa termasuk emas Kejohanan Dunia Remaja, emas Sukma, emas Kejohanan Dunia Senior, selain perak dan gangsa di Sukan SEA serta ISG.

 

Amisha menyifatkan penyertaannya di Coastal Combat 2026 sebagai peluang penting dalam kariernya.

 

*Saya mahu buktikan kemampuan diri dan beri yang terbaik untuk Malaysia. Ini pentas besar untuk saya menguji tahap sebenar dan melangkah lebih jauh,” katanya.*

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *