TAMBUN - Program Ziarah Kasih dan Kongsi Rezeki anjuran Parti Wawasan Negara Bahagian Tambun (Wawasan Negara) merupakan medium penting untuk mengenal pasti keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

Melalui lawatan terus ke kediaman penduduk, pemimpin setempat dapat mendengar sendiri masalah secara langsung dan memahami realiti kehidupan golongan yang memerlukan perhatian.
Penyelaras Wawasan Negara Bahagian Tambun, Muhammad Fadhli Ismail hadir menyantuni komuniti di sekitar Bandar Baru Putra dan Bandar Baru Tambun pada pagi Sabtu.
Turut mengiringi Jawatankuasa Penyelaras Wawasan Negara Bahagian Tambun, Faridzhul Anuar Baharuddin, Penyelaras PDM Bandar Baru Putra, Mohamad Taslim Ar Rafi serta ahli-ahli cawangan.

Fadhli berkata, program sebegini membuktikan bahawa aktiviti kemasyarakatan berasaskan empati dan keprihatinan mampu memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Wawasan Negara untuk terus mendengar, berkhidmat dan membina komuniti yang lebih sejahtera.
"Sebanyak 45 buah rumah telah selesai di santuni melibatkan agihan bantuan seperti kerusi roda, tongkat sokongan serta pek makanan keperluan asas.

"Saya berharap program seperti ini memberi manafaat kepada insan yang memerlukan dan ini adalah komitmen kami kepada masyarakat.
"Wawasan Negara Bahagian Tambun fokus akan memberikan khidmat dan menumpukan usaha dalam memastikan kebajikan rakyat di Parlimen Tambun diutamakan," katanya.

Salah seorang penerima, Jumai Abdul Samad, 67, berkata,"Saya amat berterima kasih kepada Tuan Fadhli kerana turun padang menyantuni warga emas di sini dan turut menyampaikan pek makanan untuk berkongsi rezeki," ujarnya.

