RIMBA RAID EDISI KE- 10 BAKAL GEGARKAN LENGGONG

IPOH – Rimba Adventure Sdn Bhd secara rasminya melancarkan Rimba Raid X Lenggong 2025 yang sinonim dalam acara sukan bermotor lasak yang memasuki edisi ke-10 bertaraf antarabangsa bermula dari 26 sehingga 29 Jun 2025.
Majlis pra pelancaran dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, YB Loh Sze Yee bertempat Hard Rock Cafe Ipoh pada petang Sabtu.
Turut mengiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, YB Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Pengasas dan Pengarah Urusan Rimba Raid, Datuk Kapten Nik Huzlan Nik Hussain serta penaja dan wakil pasukan.
Nik Huzlan berkata, Rimba Raid edisi ke-10 bakal menghimpunkan lebih 280 pelumba dari 15 buah negara.
“Tahun lalu Rimba Raid mendapat 200 penyertaan, manakala untuk edisi kali ke-10 ini nampaknya jumlah penyertaan makin bertambah dan Thailand bakal menghantar peserta paling ramai.
“Peserta dari negara lain pula ialah dari Jepun, Indonesia, Singapura, Australia, United Kingdom, India dan China,” ujar beliau kepada Perak Kini.
Beliau turut menambah, Rimba Raid X akan menampilkan enam kategori perlumbaan iaitu kelas A, B dan C untuk motosikal pelbagai silinder melebihi 1000cc, motosikal pelbagai silinder antara 250cc hingga 999cc serta motosikal satu silinder antara 250cc hingga 800cc.
Katanya lagi, tiga lagi kelas ialah D, E dan F masing-masing untuk kategori adventure kapcai, adventure skuter dan motosikal elektrik (E-bike).
“Dengan kategori yang pelbagai ini Rimba Raid akan terus mengekalkan identitinya sebagai perlumbaan lasak off-road yang inklusif dan mencabar di rantau ini.
“Off-road tidak boleh pura-pura, justeru ia dapat menarik penyertaan dari pelumba profesional hinggalah penunggang amatur dari seluruh dunia,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan lagi dengan demonstrasi motosikal berkuasa tinggi secara lansung oleh pelumba profesional .







